Wednesday 30 November 2011

Dalglish sanjung tinggi Bellamy



LONDON - Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish memuji persembahan yang dipamerkan Craig Bellamy ketika membantu skuad The Reds menewaskan Chelsea 2-0 pada aksi suku akhir Piala Liga di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Dua hari lalu, Bellamy tidak diturunkan ketika menentang Manchester City dalam saingan Liga Perdana England selepas mendapat pelepasan ekoran kematian rakan baiknya yang juga pengurus skuad kebangsaan Wales, Gary Speed.
Meskipun dikatakan masih bersedih dengan kematian Speed, Bellamy tidak menjadikan ia sebagai satu alasan untuk tidak mempamerkan aksi bertenaga ketika berdepan Chelsea.
Buktinya, dia menjadi penggerak utama terhadap dua gol yang dijaringkan oleh rakan sepasukannya, Maxi Rodriguez pada minit ke-58 dan Martin Kelly (63).
"Dia (Bellamy) bersikap profesional apabila mengenepikan segala masalah yang dialami biarpun masih bersedih dengan kematian individu yang dianggap sebagai mentornya, Speedy.
"Bagi seorang pemain yang masih lagi bersedih, tetapi berjaya mempamerkan aksi seperti Bellamy, ia sudah cukup untuk membuktikan kredibiliti pemain tersebut," kata Dalglish semalam.
Dalam pada itu, Dalgslih mengkritik jadual saingan musim ini yang dikatakan sangat padat.
Ini kerana, anak-anak buahnya terpaksa beraksi pada aksi suku akhir Piala Liga hanya dua hari selepas membuat perhitungan dengan City, Ahad lalu.
"City dan kami telah beraksi Ahad lalu, tetapi terpaksa beraksi hari ini (awal pagi semalam). Crystal Palace pula akan mengharungi satu lagi perlawanan Jumaat ini," tegas Dalglish. 

No comments:

Post a Comment