KLANG – Empat lelaki bersenjatakan
parang dan kapak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 dari
sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana di sini, Jumaat malam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata dalam
kejadian 8.15 malam itu, mereka hanya sempat melarikan barang kemas yang
dipamerkan iaitu dua utas rantai, sepasang subang dan dua bentuk cincin
emas.
“Suspek yang membawa sebilah kapak dan dua bilah parang kemudian
melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna
hitam,” katanya ketika dihubungi Sabtu.
Beliau berkata ketika kejadian, suspek yang berumur antara 20 dan 30
tahun, tidak memakai topeng muka dan polis kini meneliti rakaman kamera
litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kedai itu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tidak ada sebarang tangkapan
dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, diminta
menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment