HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN
CONSTANTINOPLE
Sabda
Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople
(kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah
sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat
Imam Ahmad)
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan
Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh
Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen
yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman
Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di
zaman Kerajaan Usmaniyah.
Di dalam salah
sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi
saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah
dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila
ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab,
“Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja
yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan
Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi
saw.
Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir
800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7
Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan
Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik
raja” dan “sebaik-baik tentera”
di dalam hadis tersebut.
PENGENALAN
Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di
Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah
hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum
kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja”
di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad
Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan
memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang
negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25
kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout.
Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.
PENDIDIKAN
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan
bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin
Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di
dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan,
memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang
cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa
iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di
dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad
II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia,
telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan
Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu
helah musuh.
KEPERIBADIAN
Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah
diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka
baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan
menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda
seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat
menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan
selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN
CONSTANTINOPLE
Selama 2 tahun selepas
menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam
bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji
sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan
panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk
digunakan.
Baginda mengarahkan dibina
peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom
300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah
Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat
Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan
Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh
Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal
yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak
Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila
diserang nanti.
Baginda membawa bersama para
ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad
tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople,
Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera
Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang
pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS
CONSTANTINOPLE
Setelah segala
persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja
Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota
tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota
tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya
rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara
bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan
ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut
setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan
senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai
besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula
semangat tentera Bizantin.
Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya,
mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di
perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda
mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke
perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara
tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh
para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil
dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal
perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah.
Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil
kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya
serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama
berdoa kepada Allah swt.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat
dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik
besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid.
Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan
sehingga tengahari.
Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda
kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan
tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan
semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan
Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera
Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat
masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka
kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian
tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan
pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan
Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam
keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid
Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu
melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi
gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya
membebaskan Constantinople.
SEBAIK-BAIK
RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA
Pada kali pertama solat Jumaat hendak
didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda
memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas
bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah
meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun
yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah
meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya
lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini
pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian
daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa
di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan
solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya
duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak
pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat
Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh
Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan
oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu..
No comments:
Post a Comment