Tuesday 20 December 2011

Olehan pasir terjemahan emosi...Menarik!!





JARI-JEMARI seorang lelaki cermat menaburkan pasir di atas kanvas kaca yang dibentang di atas sebuah meja. Ia berfungsi sebagai kotak cahaya (light box) untuknya membuat persembahan.
Diiringi skor muzik asal filem Titanic, pergerakan jari Bee Ghee Leng, 36, ibarat bersatu dengan muzik tersebut. Perlahan-lahan butiran-butiran pasir pantai itu dioles bagi membentuk tekstur dan imej sebuah kapal mewah sedang belayar di lautan luas dengan megah.
Belum puas penonton menikmati keindahan imej yang terbentuk itu, Ghee Leng yang mesra disapa Loong Bee mengajak orang ramai kembali berteka-teki apakah imej yang bakal dihasilkan selepas itu.
Durasi tujuh minit membawa penonton menyorot pandangan ke alam ilusi tentang kisah romantik klasik antara watak Jack dan Rose yang terpisah di Lautan Atlantik selepas karamnya Titanic.
Rata-Rata penonton khayal laksana dibuai mimpi kerana begitu menjiwai mesej olesan pasir karya Loong Bee. Tidak kurang juga ada yang menitiskan air mata menyaksikan lakaran emosi yang dimainkan Loong Bee.
Tidak mempunyai sebarang latar belakang seni, anak jati Klang, Selangor itu merupakan seorang pereka gaya rambut. Beliau juga merupakan pemilik kepada dua buah salon, March Hair Studio yang terletak di Klang Parade dan Pusat Komersial, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
"Dua tahun lalu, saya menonton televisyen dan melihat aksi seorang pelukis pasir dari China, Su Dabao. Saya tidak menyangka pasir boleh digunakan sebagai medium 'melukis'.
"Bermula daripada situ, saya banyak melakukan kajian di Internet untuk melihat video-video penganimasi pasir di laman YouTube dan mencari maklumat tentang peralatan yang diperlukan bagi menghasilkan lukisan pasir.

MUZIK menjadi pelengkap penting dalam sebuah persembahan daripada pakar animasi pasir.


"Saya cuba mencari tempat yang menjual light box di Malaysia namun gagal. Bagi merealisasikan hasrat itu, saya menempah khas kotak tersebut mengikut idea saya," singkapnya yang kini telah menghasilkan lebih daripada 80 karya animasi pasir.
Kisah cinta pengantin
Disebabkan lapangan animasi pasir masih mentah di Malaysia, Loong Bee tiada pilihan lain selain menggali sendiri lowong seni baharu itu. Tiada seniman tempatan lain boleh dijadikan teman bagi berkongsi kemahiran khusus itu.
Hampir setiap hari, bapa kepada dua cahaya mata itu melatih diri menghasilkan karya-karya 'lukisan' pasir agar dia tidak ketandusan idea apabila dipanggil menjayakan sebarang persembahan.
Tempoh setahun telah diabdikan untuk memahirkan dirinya dalam seni tersebut sehingga Loong Bee berasa betul-betul bersedia berkongsi kebolehan itu dengan orang ramai.
"Karya pertama saya ialah kisah Titanic dan adik lelaki saya menggalakkan saya memuat naik video tersebut ke dalam YouTube.
"Selepas beberapa ketika, ramai orang menunjukkan minat terhadap karya saya dan saya mula menerima jemputan bagi mengadakan persembahan lukisan pasir secara langsung," jelasnya yang mendedahkan bahawa animasi pasir pada asalnya adalah hobi sahaja.

ANTARA lorekan pasir Loong Bee yang menceritakan semula kisah cinta Titanic.


Turut menerima tempahan bagi mengadakan persembahan di majlis perkahwinan, Loong Bee menceritakan bahawa kebanyakan pengantin yang ditemuinya suka kisah cinta mereka dilakarkan di atas kanvas kaca dengan gugusan pasir pantai.
Loong Bee akan menterjemahkan kisah cinta pasangan pengantin tersebut dan akan dipersembahkan kepada mereka terlebih dahulu bagi tujuan penambahbaikan.
Walaupun karya yang dihasilkan tidak boleh disimpan sebagai kenangan buat pasangan pengantin, namun perasaan yang terbit cerita bahagia mereka yang dilayarkan untuk tatapan tetamu pasti diingati seumur hidup.
Tidak boleh silap
Tambah Loong Bee: "Kelebihan animasi pasir ialah ia boleh berubah-ubah dari satu babak membentuk babak yang lain. Ia seperti menonton filem pendek dan lebih menyeronokkan apabila ia diiringi muzik yang bertepatan dengan tema karya yang dipersembahkan."
Jika seorang pelukis boleh memadam kesilapan pada lukisan, pengoles pasir pula tidak boleh melakukan sebarang kesilapan lantaran karya tersebut bersifat tontonan langsung.
Kesilapan kecil seperti salah amaun taburan pasir pasti mencacatkan imej yang bakal terbentuk di skrin sekali gus menjejaskan keseluruhan persembahan.
"Dalam seni ini, kita tidak boleh mengangkat kembali pasir-pasir yang salah ditabur kerana ia akan mencacatkan bahagian lain.
"Pelukis pasir juga tidak boleh berhenti membetulkan kesilapan yang timbul kerana aspek masa amat dititikberatkan. Jika tercepat atau terlambat, sudah tentu penceritaan tidak akan selari dengan muzik yang dimainkan," kata Loong Bee yang memberitahu setiap persembahan lukisan pasir tidak boleh melebihi 15 minit.
Untuk bergelar seorang penganimasi pasir, seseorang itu perlu mempunyai asas melukis terlebih dahulu kerana mengoles imej menggunakan pasir adalah lebih sukar berbanding berkarya di atas kertas lukisan.
Mengawal jatuhan butiran pasir untuk setiap bahagian lukisan merupakan tugas paling sukar. Mereka perlu menguasai teknik tersebut sebelum boleh melakukan persembahan di hadapan orang ramai.

LOONG BEE berbangga apabila ketekunannya melatih skil animasi pasir kini semakin mendapat perhatian khalayak ramai.


"Membentuk bahagian kening dan mata pada imej wajah seseorang sangat susah dan saya sentiasa berhati-hati ketika membuatnya," jelasnya yang kini turut melatih anak perempuannya, Bee Xiang Zi, 6, menghasilkan animasi pasir.
Kepentingan emosi
Sementara itu, pelukis pasir kelahiran Ukraine, Daria Pushankina, 26, pula menyatakan ideanya hadir berdasarkan emosi dan perasaan yang dialami sepanjang pengalamannya berkarya.
Adakalanya, ujar Daria, muzik juga memainkan peranan penting baginya menjiwai hasil seni yang bakal dipertontonkan kepada orang ramai.
Daria turut menjalinkan teknik penceritaan yang unik dan tersendiri untuk memberikan hasil pertunjukan yang berbeza-beza setiap kali beraksi di pentas.
Pelajaran dalam seni animasi pasir diperoleh daripada eksplorasi bersama pelajarnya di dalam kelas lukisan selain didorong oleh kehebatan karya artis lukisan pasir lain seperi Ilana Yahav, Ferenc Cako dan David Myriam.
"Bukan mudah untuk berkarya secara terus kepada khalayak kerana kegagalan menterjemahkan mesej itu kepada penonton amat tinggi.
"Maka, kaedah terbaik untuk menawan hati peminat adalah dengan menggabungkan elemen utama kehidupan iaitu muzik, pergerakan dan emosi," katanya yang pernah menjayakan persembahan GLITZ di The Pavilion, First World Plaza, Genting Highlands pada November tahun lalu hingga April lepas.

No comments:

Post a Comment