Thursday 22 December 2011

Pameran fotografi ketiga DCIM..



PAMERAN DCIM 2011 merupakan pameran terbesar fotografi yang turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.


BUAT kali ketiga, Pameran Digital Kamera, Imejan dan Media 2011 (DCIM 2011) kembali lagi sebagai penutup tirai tahun 2011.
Diadakan secara berturut-turut sejak tiga tahun lalu, DCIM 2011 merupakan satu pameran terbesar dan komprehensif mengenai pelbagai aspek fotografi anjuran Velocity Media Sdn. Bhd.
Acara itu akan diadakan di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur yang bermula pada pukul 11 pagi dari 23 sehingga 25 Disember ini.
Antara pempamer yang akan mengambil bahagian dengan mengetengahkan pelbagai produk terbaharu fotografi mereka termasuklah Canon, Nikon, Panasonic dan Olympus.
Selain pameran peralatan dan aksesori fotografi, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai keperluan fotografi pada harga menarik daripada pengedar utama peralatan itu yang merangkumi aksesori, peralatan penting sehinggalah penyelesaian percetakan.
Untuk memberi nilai tambah kepada pameran yang tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjung, penganjur turut mengadakan pelbagai bengkel dan seminar fotografi. Antara penceramah yang dijemput termasuklah mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing seperti Iskandar Ibrahim, Jim Liaw, Patrick Low, Eric Looi dan Saiful Nang.
Selain bengkel, pengunjung yang ingin menguji kehebatan cara merakamkan imej boleh menyertai segmen merakam aksi model Velocity Angel Search 2011.
Seperti yang diketahui, Velocity Media yang juga penerbit majalah fotografi Digital Camera dan majalah IT, max-it dan T3 akan melancarkan sebuah lagi majalah fotografi terbaharu berbahasa Melayu.
Majalah fotografi Dunia Kamera yang dipadatkan dengan pelbagai informasi dan tutorial fotografi itu sesuai untuk jurufoto profesional dan amatur yang akan menyaksikan kemunculan sulungnya pada pameran DCIM 2011.
Kali ini, DCIM 2011 akan mengetengahkan tema perayaan Krismas. Bagi meraikan perayaan tersebut, pelbagai pertandingan fotografi akan diadakan yang menjanjikan pelbagai hadiah menarik.
Dapatkan maklumat lanjut selain jadual speaker fotografi dan gambar model-model Velocity Angel Search yang akan bersaing di www.DCIMShow.com.

No comments:

Post a Comment