Wednesday 14 March 2012

Alamkops...Haiwan berkepala 2..


Tidak semua haiwan yang lahir mempunyai bentuk fizikal yang normal. Allah juga mencipta haiwan dalam keadaan yang berlainan dari bentuk fizikal yang lain seperti berkepala dua.
Related Posts with Thumbnails

Melayukini.net – Gambar Haiwan Berkepala 2 | Manusia juga ada dilahirkan dalam keadaan kembar dua hatta haiwan sekalipun tidak terkecuali. Kali ini Melayukini.net akan berkongsi mengenaikoleksi gambar haiwan pelik berkepala dua. Semua ini adalah dugaan daripada Allah SWT dan sememangnya ia terkandung seribu hikmah. Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Jom layan gambar haiwan berkepala dua di bawah ini.
Melayukini.net - Subhanallah, haiwan pelik ini mempunyai bentuk fizikal berkepala dua. Haiwan ini datang daripada seluruh dunia dan ada yang datang dari darat dan air. Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Saturday 10 March 2012

Hari Holi penuh warna-warni..



SERBUK pewarna dilemparkan ke arah orang ramai untuk memeriahkan lagi perayaan itu.


KEBIASAANNYA, perbuatan membaling serbuk pewarna ke muka orang lain bukan sahaja boleh menimbulkan kemarahan bahkan, mungkin boleh menyebabkan anda menerima tumbukan atau penampar.
Namun, pada hari perayaan Holi semakin banyak anda membaling serbuk pewarna, ia semakin disukai oleh penerimanya.
Sesuai dengan namanya festival Holi atau perayaan warna, pesta yang disambut pada bulan Phalguna mengikut kalendar Hindu atau awal bulan Mac itu merupakan antara perayaan paling meriah melibatkan penganut agama Hindu.
SEORANG lelaki tersenyum menampakkan gigi yang putih, biar pun mukanya sudah penuh disaluti pewarna biru.


Pada festival Holi, orang ramai akan berkumpul di lokasi tertentu untuk membaling serbuk pewarna dan haruman kepada pengunjung yang hadir. Dengan pelbagai muzik turut dialunkan sepanjang perayaan itu, pengunjung tidak kisah untuk mengotorkan baju dan mencomotkan muka dengan pelbagai jenis warna kerana hakikatnya itulah keistimewaan Holi.
Disambut di India, Nepal dan beberapa negara yang mempunyai penganut agama Hindu seperti Surinam, Malaysia dan Guyana, Holi merupakan salah satu daripada perayaan paling tua di India.
Terdapat pelbagai kisah dikaitkan dengan asal-usul berakarnya perayaan itu contohnya dikatakan dianjurkan oleh transkrip Jaimini's Purvamimamsa-Sutras dan Kathaka-Grhya-Sutras.
Selain itu mengikut legenda, ia juga dikatakan diadakan sebagai meraikan kejayaan Raja Hiranyakashipu menewaskan kuasa jahat suatu masa dahulu.

SERBUK pelbagai jenis warna digunakan untuk meraikan festival Holi.


Bagaimanapun, semakin ia berkembang asal-usul Holi itu semakin dilupakan. Holi diraikan juga sempena musim menuai dan tanda bermulanya musim bunga. Tetapi dalam kalangan orang muda hari ini, ia merupakan sebuah perayaan untuk mengeratkan perhubungan.
Hal ini kerana, di India perayaan Holi disambut tanpa membezakan umur, gender dan kasta. Semua orang akan menari sambil saling melontarkan serbuk pewarna ke tubuh orang lain.

Lelaki 'Batman' bantu orang ramai...



GAMBAR menunjukkan bilik tidur Zoltan Kohari.


DUNAJSKA STREDA, Slovakia - Seorang lelaki yang memakai kostum mirip Batman disanjung sebagai wira kerana dia kerap membantu orang ramai.
Batman merupakan watak adiwira dalam siri komik di Amerika Syarikat dan filem keluaran Hollywood.
Lelaki itu, Zoltan Kohari tinggal di dalam sebuah bangunan terbiar di sini, 55 kilometer ke selatan bandar raya Bratislava.
Kohari yang berusia 26 tahun itu hidup bersendirian tanpa kemudahan asas seperti air, elektrik dan alat pemanas.
Dia yang hidup dalam kemiskinan akan memperoleh bekalan makanan dan minuman daripada orang ramai yang pernah dibantunya.
Walaupun belum pernah menentang penjahat, Kohari memberitahu, dia percaya pada keadilan dan berharap dapat membantu pihak polis bagi memerangi jenayah.

Lelaki 72 tahun pandu sejauh 800,000km..




SEORANG penduduk tempatan melihat enjin kenderaan Mercedes-Benz milik Gunther Holtorf di Hanoi semalam.


HANOI - Seorang bekas pengurus syarikat penerbangan Lufthansa, Gunther Holtorf telah memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda sejauh 800,000 kilometer di 198 buah negara.
Holtorf, 72, tiba di Hanoi, Vietnam baru-baru ini dengan memandu kenderaan Mercedes-Benz keluaran tahun 1988. Dia dalam misi untuk menamatkan pemanduan melalui jalan raya yang menghubungkan negara-negara di dunia.
Dia pernah tiba di Kuala Lumpur pada Jun 2007.

Friday 2 March 2012

Kayuh basikal lipat ke tempat kerja...





SAMBIL melipat basikalnya dalam beberapa minit sahaja, Sonny Ikmal Ahmad Kamil, 29, kemudian memasukkan basikal tersebut ke dalam beg sebelum menjinjing bersamanya masuk ke dalam tren aliran ringan (LRT). Itulah rutin hariannya sejak lebih lima bulan lalu untuk ke tempat kerja.
Bukan berbasikal sepanjang perjalanan, Sonny biasanya berulang-alik ke stesen LRT dari rumahnya di Taman Cheras Indah, Kuala Lumpur sejauh sekitar dua kilometer untuk pergi dan ketika pulang dari kerja.
Basikal itu kini sudah menjadi teman rapatnya kerana penggunaan yang mudah, tidak perlu mencari parkir, membayar tol dan juga berjimat duit petrol. Tambahan pula, ia boleh dibawa ke mana-mana sahaja.
"Sekarang, setelah beberapa bulan bersama basikal, saya berasa lebih sihat. Saya melakukan dua kerja dalam satu masa iaitu bersenam dengan berbasikal seiring perjalanan pergi dan pulang dari pejabat.
"Lebih mudah, dengan fungsi lipat itu, saya boleh mengusungnya ke mana-mana sahaja," katanya.
Sonny Ikmal membeli basikal lipatnya secara talian dan mula menggunakannya pada bulan September 2011 yang lalu.
"Ketika itu saya tidak tahu di mana untuk membeli basikal lipat di Malaysia. Lagipun, saya mendapati kebanyakan basikal lipat ini popular sama ada di Taiwan, Korea dan Jerman. Masyarakat di negara itu mempunyai budaya berbasikal. Oleh itu, saya terpaksa mendapatkannya secara talian daripada laman web yang menjual basikal itu," kata Sonny.
Basikal lipatnya yang cuma seberat 11 kilogram dengan saiz roda 16 inci berharga lebih RM1,000. Tentu sekali, ia kedengaran agak mahal berbanding basikal biasa.

Membawa basikal lipat adalah lebih kurang sama sahaja dengan membimbit beg yang sarat dokumen.


Hakikatnya, basikal lipat itu sebenarnya boleh mencapai harga RM20,000 atau lebih bergantung kepada jenama, spesifikasi dan kecanggihan peralatan dua roda itu.
Namun, berbanding motosikal, kereta dan kenderaan berenjin yang lain, basikal lipat adalah satu pembelian yang berbaloi.
Selain tidak menggunakan petrol yang sudah tentu menjimatkan, basikal lipat juga tidak memerlukan penyelenggaraan yang mahal dan kerap.
"Kalau dibuat perbandingan dengan basikal biasa, ia lebih mudah dibawa ke mana-mana saja kerana ia boleh dilipat dan disimpan di dalam beg khas. Apabila dibawa ke dalam pengangkutan awam pun ia tidak memakan ruang," ujar seorang pembekal basikal lipat di Bandar Utama, Selangor, Razaleigh Ramly, 28.
Respons menggalakkan
Baru berjinak-jinak dengan perniagaan basikal lipat melalui bisnesnya, FoldingBike2u (FoldingBike2u.com), Razaleigh berkata, basikal itu mendapat respons yang di luar jangkaan. Kini lebih ramai orang khususnya golongan muda dan belia menunjukkan minat yang tinggi terhadap basikal lipat.
Daripada sasaran awal, Razaleigh yang hanya menetapkan keuntungan jualan sejumlah RM10,000 dalam masa lima bulan penubuhan syarikatnya, beliau ternyata berpuas hati apabila sasaran itu bukan sahaja mudah dicapai, malah respons yang ditunjukkan jauh mengatasi sasaran itu dan berterusan.
TIDAK sukar untuk membawa basikal lipat ini ke dalam pengangkutan awam seperti LRT.


Razaleigh sendiri mula jatuh cinta dengan basikal lipat apabila diperkenalkan oleh seorang rakannya di Jerman.
"Basikal Recumbent yang diperkenalkan oleh rakan saya kelihatan sungguh mengagumkan. Saya benar-benar tertarik dengan seluruh idea melipat basikal dan ia turut menjurus kepada bisnes membekal serta menjual basikal lipat ini," katanya merujuk kepada basikal yang dimaksudkan itu yang saiznya lebih memanjang dengan tempat duduk bersandar.
Sedar mempunyai pengikut khusus basikal lipat, Razaleigh terus menggunakan minatnya sebagai motivasi untuk terlibat dalam bisnes tersebut.
"Melalui laman FoldingBike2u.com, kami bukan sahaja menjalankan urus niaga dalam talian malah menerima kunjungan pembeli langsung yang datang sendiri ke kedai kami. Selepas menemui pelanggan, kami sedar perniagaan ini sebenarnya mempunyai potensi yang besar," katanya yang turut ditemani rakan niaganya dan pengguna basikal lipat, Shukri Sharkawi, 28.
Selesa mengayuh
Shukri yang juga seorang peminat aktiviti berbasikal berkata, kini dia sudah menjadi sebahagian pengikut budaya berbasikal. Baik ke tempat kerja, kedai berdekatan, masjid malah ke mana sahaja yang membolehkannya mengayuh, Shukri setia memilih basikal sebagai mod pengangkutannya.
"Jika anda bawa basikal ini ke pusat beli-belah sekalipun, saya percaya ia diizinkan untuk dibawa masuk. Selain itu, ia boleh dimasukkan dalam but kereta dan dibawa ke taman-taman awam untuk tujuan rekreasi. Ia juga boleh dijadikan produk sukan," terang pemuda dari Sarawak itu.
Shukri bagaimanapun tidak menggalakkan basikal lipat digunakan untuk aktiviti ekstrem. Sifat basikal lipat ini sebenarnya sama seperti basikal biasa, cuma apabila dilipat, pengguna perlu membuka latches (selak).

BASIKAL lipat tidak disediakan insurans kerana ia dilihat sebagai hobi, bukannya kenderaan berat.


Ia adalah kunci bagi memasangnya kembali apabila mahu mengayuh. Oleh kerana sifat tersebut, Shukri tidak menggalakkan penggunaan untuk sukan ekstrem dan mengayuh di atas jalan yang tidak rata kerana takut sistem pemasangannya menjadi longgar, tidak selamat atau tertanggal.
Seorang lagi pemuda, Ehsan Ikmal Ahmad Kamil, 29, yang meminati basikal lipat sedang merancang untuk membelinya.
Berasal dari Kajang dan bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di ibu kota, Ehsan mengakui sudah terpaut hati selepas melihatnya melalui sekeping foto yang dihantar oleh rakannya di Korea.
"Kini saya bercadang untuk memiliki sebuah basikal lipat roda 20 inci dengan kelajuan 21 yang bernilai RM1,988," katanya.
Bagi Ehsan, kemudahan basikal lipat itu membolehkan ia dibawa ke mana sahaja dengan mudah. Selain itu, pengalaman mengayuh yang unik menjadi tarikan untuk memilikinya.

Berat bayi bak sehelai daun...



KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun itu menangis ketika diletakkan di atas penimbang elektronik. Dengan badan yang sangat kurus, Rajni merupakan antara berjuta-juta kanak-kanak yang tidak mendapat makanan secukupnya.
Dengan berat lima kilogram sahaja iaitu separuh daripada berat sepatutnya, Rajni kelihatan lesu, kulit berkedut dan sedang sakit ketika ditemui di klinik yang terletak di daerah Shivpuri, Madhya Pradesh, tengah India.
Jika kanak-kanak itu terus hidup, tumbesarannya akan terbantut, lemah dan kurang bijak berbanding rakan-rakan lain yang mendapat diet lebih baik.
Keadaan klinik yang menjadi tempat ibu bayi tersebut mendapatkan rawatan juga amat menyedihkan dengan bekalan ubat yang terhad, manakala bekalan tenaga elektrik kerap terganggu.
"Dia hanya seberat sehelai daun, ini tidak baik," kata nenek kanak-kanak malang itu, Sushila Devi sambil memegang perut cucunya yang buncit kerana kekurangan zat.
Amat mengejutkan apabila statistik kanak-kanak yang tidak mendapat makanan seimbang di India gagal untuk dikurangkan walaupun ekonomi negara itu meningkat tiga kali ganda antara tahun 1990 hingga 2005.
Peningkatan itu menjadikan India sebagai negara ekonomi ketiga di Asia dan pendapatan perkapita turut meningkat AS$489 (RM1,467) berbanding AS$96 (RM288). Namun, apa yang berlaku ke atas Rajni tidak menggambarkan kemajuan tersebut.
Dalam sebuah kajian yang ditaja oleh kerajaan bulan lalu, sebanyak 42 peratus kanak-kanak bawah lima tahun mengalami kurang berat badan. Angka tersebut adalah dua kali ganda peratus bilangan di sub sahara, Afrika.
Di klinik yang sudah usang dengan wayar elektrik berselirat melingkari dindingnya, pekerja kesihatan, Rekha Singh Chauhan sedang menguruskan beberapa orang kanak-kanak dalam keadaan kurus kering.
Realiti kehidupan
"Sekarang, memang tidak ramai kanak-kanak untuk dijaga. Tetapi, apabila tiba bulan April nanti, banyak kes akan meningkat.
"Situasi boleh menjadi sangat teruk nanti. Tiga orang kanak-kanak akan berkongsi sebuah katil dan ramai yang terpaksa tidur di atas lantai," kata Rekha.
Tambahnya, penyakit-penyakit seperti cirit-birit dan malaria boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah tidak cukup berat badan.

REALITI kehidupan di daerah Shivpuri, Madhya Pradesh begitu menyedihkan.


Di daerah Shivpuri, Madhya Pradesh, paparan realiti kehidupan yang menyedihkan dan masalah kanak-kanak kurang zat jelas kelihatan di kawasan itu.
Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahagian kanak-kanak (Unicef) bilangan kanak-kanak bawah lima tahun mengalami kekurangan zat di Shivpuri menyamai purata kebangsaan.
Bilangan jangka hayat pula sangat teruk iaitu seramai 103 kematian bagi setiap 1,000 kanak-kanak berbanding purata kebangsaan India iaitu 66 orang untuk setiap 1,000 kanak-kanak.
Kebanyakan kanak-kanak malang itu datang daripada keluarga yang berada bawah garis kemiskinan dan buta huruf seperti puak atau golongan berkasta rendah.
Ibu-ibu di situ juga tidak dibesarkan dengan sempurna, dipaksa kahwin muda sebaik sahaja mencapai akil baligh dan melahirkan bayi yang tidak cukup berat badan serta imunisasi lemah.
Buta huruf dan kurang pengetahuan juga menjadi penghalang dalam menurunkan bilangan kematian bayi.
Mereka tidak menyusu bayi-bayi mereka dengan susu badan sebaliknya mereka memberikan susu kerbau yang tercemar dengan air mendorong anak mereka mengalami cirit-birit sekali gus menyukarkan penyerapan zat makanan.
Dengan hampir kebanyakan mereka berpendapatan kurang daripada AS$2 (RM6) sehari, mereka tidak mampu menampung makanan selain capati gandum yang tidak mempunyai cukup protein dan nutrisi lain.
Baru-baru ini, Perdana Menteri India, Manmohan Singh meluahkan kebimbangan mengenai masalah kekurangan zat kanak-kanak India ketika membentangkan hasil tinjauan terhadap kebuluran dan kekurangan zat.
"Walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengagumkan, peningkatan tahap kurang zat di negara ini tidak boleh diterima.
"Kami juga tidak berjaya mengurangkan masalah tersebut pada kadar segera," kata Manmohan.
Kenaikan harga makanan
Beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai memalukan negara. Melalui tinjauan di 100 buah daerah di India memperlihat 42 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun mengalami kurang berat badan.
Dalam sebuah lagi laporan kajian yang dikelolakan oleh sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa, Save the Children, hampir 30 peratus keluarga di India terpaksa memotong kuantiti pengambilan makanan berikutan kenaikan harga makanan.
Kajian tersebut mengambil sebanyak 1,000 buah keluarga untuk setiap negara yang terlibat dalam kajian. Negara-negara itu ialah Nigeria, Nepal, India, Pakistan, Bangladesh dan Peru tetapi lebih fokus kepada India.
"Kaji selidik memberi fokus keadaan di India, sebuah negara yang mempunyai angka teramai kanak-kanak kurang zat di dunia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Save the Children, Jasmine Whitbread.
Mengikut laporan, majoriti rakyat India berdepan masalah harga makanan sepanjang tahun 2011.

BUTA huruf dan kurang pengetahuan juga menjadi penghalang dalam menurunkan bilangan kematian bayi.


Laporan itu mendedahkan, ramai kanak-kanak India terpaksa meninggalkan bangku sekolah bagi membolehkan mereka bekerja dan membantu keluarga membeli makanan.
Penduduk yang lain pula langsung tidak mampu memiliki diet pemakanan yang baik sehingga menyebabkan berlaku kes bayi bawah lima tahun mengalami masalah kekurangan zat yang sangat kronik.
Berdasarkan laporan terbaharu yang diterima, Whitbread menambah, lebih kurang 24 peratus keluarga di India bersama anak-anak mereka terpaksa berlapar seharian, manakala 27 peratus rakyat India tidak mampu membeli daging, susu dan sayur setiap minggu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jairam Ramesh turut melemparkan pandangan bahawa hampir tiada peningkatan pada keperluan pemakanan walaupun ekonomi negara semakin baik.
Menyifatkan negeri Tamil Nadu dan Kerala semakin baik berbanding negeri-negeri lain, Jairam menyalahkan parti-parti politik yang gemar menggunakan isu tersebut sebagai agenda menggerak pengaruh politik mereka.
Tambahnya, banyak sumber awam diperlukan untuk membaiki standard kesihatan, air dan kebersihan malah, dia berjanji pada bajet 2013, kerajaan pusat akan menambah peruntukan di semua bahagian berkenaan.

Friday 24 February 2012

Takdir..Dijangka hidup 12 jam, kini sudah 105 tahun..


SOMERSET: Seorang pesasara semalam meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke 105 meskipun hanya diberikan tempoh 12 jam untuk hidup ketika dilahirkan pada 1906.
Namun, Lillie Arnold tidak menyambut pencapaian menakjubkan itu dengan meminum arak memandangkan dia mencapai usia itu kerana dia tidak pernah menyentuh minuman keras.
Dan pesara berkenaan mempunyai satu mesej kepada doktor yang hampir putus asa merawatnya ketika dia baru dilahirkan: “Lihatlah saya sekarang!” Lillie yang kini menetap di Institut Kebangsaan Diraja untuk Orang Buta di Burnham-on-Sea, Somerset berkata: “Saya dilahirkan kembar. Malangnya, adik saya meninggal dunia.
“Saya begitu lemah. Doktor hanya memberi masa setengah hari untuk hidup. Saya sering tertanya-tanya apa yang akan difikirkan doktor itu apabila melihat saya sekarang.” Lillie berjaya mengatasi pendapat perubatan untuk mencapai usia emas dan masih kuat, meneruskan kehidupan selama 199,800 jam selepas dikatakan hanya akan hidup selama 12 jam pada 1906.
Dia berjaya mencapai usia setua itu dengan menjalani kehidupan secara sihat dan menghirup udara segar tepi laut.
Dia yang pernah menetap di London, berpindah ke Portsmouth sebelum menetap di Burnham-on-Sea. – Agensi
sumber: hmetro.com.my

Alamakops!!! Okuma bak bandar berhantu...






HANYA mempunyai masa tiga jam untuk berada di rumah lamanya, Miyoko Takeda giat mengasing-asing barang kepunyaannya sambil menitiskan air mata.
Dia terpaksa meninggalkan semua kimono yang pernah dipakainya ketika menjadi penari tradisional suatu ketika dahulu kerana bimbang kemungkinan ia telah tercemar dengan radiasi.
Malapetaka gempa bumi berukuran 9.0 magnitud menggegarkan bandar Okuma, Jepun pada bulan Mac tahun lalu. Ia merupakan kawasan reaktor yang menjadi pusat krisis nuklear Fukushima.
Sehingga kini, kawasan tersebut masih lagi sunyi sepi apabila menjadi kawasan larangan bagi penduduknya sehingga tidak ubah seperti sebuah bandar berhantu.
Hanya lawatan pendek yang dibenarkan untuk meninjau rumah yang telah ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa hampir setahun lalu.
Ramai yang tidak mengetahui bila mereka boleh pulang ke tanah Okuma.
Takeda yang telah berusia 74 tahun melawat kediamannya bersama-sama suami pada hujung minggu lalu untuk memindahkan kabinet.
Ujarnya, dalam pakaian sut perlindungan berwarna putih, kesan daripada evakuasi pada bulan Mac lalu menyebabkan tubuhnya tidak dapat berfungsi dengan baik.
"Saya tidak boleh tidur dan makan dengan baik. Saya susut lapan kilogram dan apabila bertemu doktor, saya akan memuntahkan semua yang telah dimakan," kata Takeda sambil berjalan-jalan di rumahnya yang terletak kurang 10 kilometer (km) dari loji itu.
Pada lawatan kali ketiga itu, Takeda mengalir air mata ketika sedang cuba memakai kimononya buat kali terakhir sebelum lawatan tiga jam itu berakhir.
Menaruh harapan

PENDUDUK Okuma yang berpindah kini sudah hampir setahun mendiami rumah sementara di Aizuwakamatsu.


Lebih 1,000 orang dari tiga bandar yang kesemuanya terletak dalam zon larangan telah pulang pada Ahad lalu. Kawasan itu kini menyaksikan lalang memenuhi padang sekolah tadika, manakala baja asli dari ladang lembu berdekatan memenuhi jalan raya.
Beberapa buah keluarga dikatakan meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan tergesa-gesa sehingga selimut tebal mereka masih lagi berselerak atas lantai sampai sekarang.
Seperti Takeda, penduduk lain pula menggunakan tempoh beberapa jam yang berharga itu dengan mengambil barang-barang berharga. Ada juga yang melawat kubur keluarga dan membaiki kerosakan kesan daripada gempa dan gegaran susulan.
Dengan kedudukan batu nisan telah berubah tempat dan daun lalang memenuhi kawasan itu, Minoru Fukuo, 59, dan isterinya membersihkan kawasan tersebut walaupun pelawatnya kini adalah hidupan liar.
"Kami hanya berdoa agar dapat pulang semula untuk membersihkan kubur. Jadi, kami berharap mereka (roh nenek moyang) boleh tunggu sehingga sampai waktu itu," kata Fukuo.
Lawatan itu merupakan kali ketiga menyaksikan para penduduk dibenarkan masuk ke zon larangan nuklear sejak malapetaka tersebut berlaku.
Sejak gempa melanda Jepun, penduduk Okuma bertebaran di seluruh negara. Tanpa sebarang harapan cerah menyebabkan ada sesetengah daripada mereka telah putus harapan.
"Jika ia bencana alam biasa, kamu akan pulih dan maju sedikit demi sedikit setiap hari. Tetapi, kali ini tidak! Yang tinggal adalah satu ketidakpastian," ungkap Tomiko Ikinobu, 47.
Loji Fukushima Daiichi yang terletak di persisiran pantai 240 kilometer arah timur laut Tokyo telah ranap kesan daripada gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac tahun lalu.
Berita melaporkan sebanyak empat kali letupan telah berlaku di loji tersebut menyebabkan bekalan elektrik di seluruh Jepun terganggu.
Krisis terburuk

PEMANDANGAN dari atas kawasan Loji Fukushima Daiichi sebelum dan selepas dilanda gempa bumi Mac tahun lalu.


Tragedi itu merupakan krisis nuklear terburuk dalam tempoh 25 tahun. Sebelum ini, reaktor nombor empat, Loji Jana Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine telah meletup pada 26 April 1986.
Penilaian kerosakan loji jana kuasa Fukushima Daiichi yang dibuat tahun lalu adalah 55 peratus di unit reaktor nombor satu, 35 peratus di reaktor nombor dua dan di reaktor nombor tiga pula sebanyak 30 peratus.
Hampir 11,000 orang penduduk di Okuma dan kira-kira 80,000 orang di wilayah terlibat tidak boleh pulang semula ke rumah masing-masing kerana radiasi tinggi.
Ia meninggalkan luka jiwa yang mendalam kepada penduduk di situ walaupun kebanyakan rumah mereka masih lagi dalam keadaan baik.
Tahun lalu, kerajaan Jepun mengisytihar Loji Jana Kuasa Nuklear Daiichi sebagai kawasan 'penutupan sejuk' tetapi, Kementerian Alam Sekitar berkata, lebih kurang 2,400 kilometer persegi tanah di sekeliling loji perlu dinyah cemar dahulu.
Ikinobu dan empat anaknya kini tinggal di perumahan sementara tanpa pekerjaan sejak malapetaka berlaku.
"Selepas setahun berlalu, semua perkara dan usaha jadi perlahan dan lambat. Mencari pekerjaan baharu juga semakin sukar. Anak-anak pula makin membesar," ujarnya yang merenung nasib.
Sementara itu, Pengurus Loji Tokyo Electric Power Company (Tepco), Takeshi Takahashi berkata, dalam lawatan terbaharu ke tapak bencana nuklear itu baru-baru ini, pihaknya sedang berusaha memastikan reaktor itu selamat.
"Cabaran utama kami sekarang adalah untuk mengeluarkan minyak nuklear daripada reaktor. Ia adalah masalah yang susah dari segi teknikal. Tetapi, kami melakukannya selangkah demi selangkah," katanya.

KESEMPATAN pulang ke Okuma selama tiga jam digunakan oleh penduduk untuk melawat pusara.


Tutup operasi
Dalam lawatan itu kelihatan reaktor nombor tiga hanya tinggal timbunan besi, manakala pada aras atas telah musnah selepas digegar dengan beberapa letupan pada hari loji jana kuasa itu dilanda gempa dan tsunami.
Di Tokyo, operasi loji nuklear bakal berkurangan. Sebelum ini Jepun memiliki 54 buah operasi loji nuklear tetapi, dengan penutupan satu demi satu loji tersebut, Negara Matahari Terbit berkenaan kini hanya mempunyai dua buah loji yang aktif.
Dua buah loji milik Tepco itu ialah Loji Kashiwazaki-Kariwa di tengah Jepun dan Loji Tomari di utara Hokkaido.