Tuesday 3 January 2012

Memecah dasar aparteid di ladang..




DAVIS seperti tidak percaya dia kini mampu bekerjasama dengan peladang kulit hitam mengusahakan ternakan lembu.


GAMBAR seekor lembu tegap kemerah-merahan yang tertera pada pintu trak pikap miliknya menjadi kebanggaan John Davis.
Lembu itu menjuarai ekspo pertanian bagi peladang-peladang baharu kulit hitam di Afrika Selatan baru-baru ini.
Davis merupakan simbol kejayaan pembaharuan tanah di negara itu selain turut menjalin kerjasama 'asing' dengan peladang kulit putih.
Kerjasama seperti itu merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sektor pertanian di bumi Afrika Selatan.
"Telah lama saya mengimpikan semua ini. Hidup saya sudah berubah, perkara ini sebenarnya masih tidak dapat dipercayai kerana kini saya merupakan pemegang saham kepada dua buah ladang," kata peladang berdarah campuran berusia 53 tahun ini.
Kumpulan peladang yang disertainya mempunyai ladang seluas 1,500 hektar di kawasan berbukit di Napier, yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari timur Cape Town.
Tidak seperti rampasan secara ganas terhadap ladang-ladang kulit putih di negara jiran, Zimbabwe, Afrika Selatan membeli ladang-ladang di pasaran terbuka untuk diberikan kepada penduduk kulit hitam bagi memulihkan salah satu kesan buruk legasi dasar aparteid yang paling ketara dan mengguris emosi.
Sembilan daripada setiap 10 projek tidak berhasil malah, ada yang terpaksa dijual semula kepada peladang kulit putih.
Namun, itu tidak bermakna projek itu harus dihentikan kerana sebuah projek yang menjadi sudah dilihat sebagai titik mula yang boleh dibanggakan.
Pengalaman dan semangat untuk memberikan peladang baharu bantuan nasihat teknikal dan kemahiran pengurusan kewangan hinggalah kepada suntikan dana amat diperlukan.
Di Napier individu yang menjadi tonggak di sebalik kejayaan peladang orang kulit hitam di sana adalah Kosie Van Zyl.
Van Zyl ialah seorang peladang kulit putih berusia 40 tahun daripada keluarga pengurus ladang yang mahu membentuk generasi baharu peladang di Afrika Selatan.

PROJEK Agri Dwala antara contoh kejayaan Afrika Selatan memecahkan dasar aparteid dalam sektor perladangan.


"Apa yang saya nikmati sekarang adalah kerana orang memberi saya peluang tersebut yang membuatkan saya menjadi peladang komersial dan seterusnya menzahirkan keseluruhan visi Agri Dwala," katanya kepada AFP.
Projek Agri Dwala kini mempunyai 29 peserta yang menerima faedah, dengan sebilangannya memiliki enam ladang yang memberi pulangan hasil yang menguntungkan.
"Hari ini kami berada di kedudukan di mana saya boleh menyewa peralatan mereka dan begitu juga sebaliknya," kata Van Zyl lagi.
Pada mulanya, Afrika Selatan memberikan ladang-ladang dengan sokongan yang sedikit atau mempunyai penerima faedah.
Trevor Abrahams menerima sebidang tanah tidak berpagar pada 1998 dan kini dia mengeksport buah-buahan daripada lembah Ceres kepada peruncit Britain seperti Marks & Spencer selain mendapat perhatian dari seorang peladang kulit putih terkenal, Robert Graaff.
"Kami tidak menandatangani sebarang perjanjian rasmi seperti mentor dan murid tetapi, menetapkan dua syarat. Pertama, saya akan membayar untuk semua perkara kecuali nasihatnya.
"Syarat kedua adalah tiada sebarang harapan dari pihaknya berhubung apa jua permintaan terhadap saya," kata Abraham, 53, seorang bekas guru.
Generasi baharu
Punca kejayaan dalam hubungan ini adalah 'kepercayaan sebulat hati', katanya, merujuk kepada pinjaman tanpa faedah sebanyak lebih sejuta rand (kira-kira RM380,000).
"Tiada beban yang ditanggung. Saya tidak akan menyalahkannya jika apa-apa berlaku kepada ladang saya dan dia sedia bersama saya sehingga ke penghabisan.

SALAH seorang peladang kulit hitam yang mengusahakan ternakan kambing biri-biri di Napier.


"Ia lebih dari sekadar rakan niaga pada peringkat ini," katanya lagi.
Bergerak ke arah model yang sama, kerajaan telah mewujudkan program penyelamatan untuk ladang-ladang yang bermasalah dan mempromosikan kaedah mentor atau pengurus.
Berhampiran Pantai Barat yang sejuk terdapat dua ladang anggur diuruskan oleh Bono Holdings yang melatih pekerja ladang yang turut merangkap pemegang saham.
"Anda perlu menukar minda mereka supaya mereka tahu mereka bukan lagi pekerja. Anda memberi pemilikan supaya jika ada sesiapa yang menyalahgunakan traktor, mereka boleh bertindak menghentikannya," kata Pengarah Urusannya, Evans Nevondo.
Berbalik ke Napier, Van Zyl dan pakar tanaman, Piet Blom mahu menjadikan Agri Dwala sebagai contoh kepada peladang kulit putih yang lain.
"Mereka mempunyai hati yang sama seperti kita untuk memulakan generasi baharu, Afrika Selatan yang baharu, bukan rakyatnya yang berpecah-belah.
"Kita adalah Afrika Selatan yang baharu dan saya rasa ia perkara yang betul untuk dilakukan," kata Blom lagi.

No comments:

Post a Comment