Tuesday 21 February 2012

Seni khat purba Islam..

KETIKA melalui satu sudut di tingkat dua, kompleks beli- belah Amcorp Mall, Petaling Jaya, pandangan mata terpesona melihat satu karya seni unik yang tersusun rapi di atas deretan meja.
Disebabkan agak sukar menghadam maksud yang cuba disampaikan di sebalik tulisan empat segi atas kanvas itu, penulis lantas mendekati empunya kedai.
Jurukhat kufi dan juga pemilik kedai tersebut, Yushafizal Mohd. Yunos seolah-olah terbiasa dengan situasi itu. Lelaki itu tersenyum dan kemudiannya dengan tenang menerangkan secara terperinci maksudnya.
Jelasnya dengan ringkas: “Ini adalah tulisan yang dipanggil kufi dan ia merupakan salah satu cabang tulisan khat.”
Kufi adalah salah satu seni khat purba Islam. Menyorot kembali historiografi seni ini, ia merupakan antara skrip khat yang paling awal digunakan dalam seni kaligrafi Islam. Skrip ini digunakan dalam penulisan al-Quran yang paling awal sebelum ditukar penulisannya kepada skrip nasakh seperti yang dipakai dalam al-Quran sekarang.
Pembangunan tulisan kufi dipercayai berkembang di Iraq. Betapa tersohornya seni itu, sehingga Iraq mengabadikan tulisan penuh stail itu pada bendera mereka. Seni terhebat itu juga turut mewarnai majoriti bangunan-bangunan bersejarah di kedua-dua buah negara itu.
Khat kufi sudah bertapak berabad-abad lamanya di muka bumi ini. Khat kufi secara keseluruhannya boleh didapati dalam beberapa bentuk termasuk bentuk old archaic, flora geometric,square geometric dan beberapa bentuk lain.
Skrip kufi yang banyak dan popular di Malaysia ialah dalam bentuk square geometric yang juga boleh didapati di Masjid Nabawi, Madinah.
Arkitek berusia 33 tahun itu memberitahu, dia tidak kisah untuk menerangkan tentang seni itu kepada mereka yang bertanya atau dengan seorang lagi jurukhat yang juga rakan baiknya, Mohd. Nurhamli Mohd. Thaniretnam, 32.

MOHD. NURHAMLI tidak mengambil masa yang panjang untuk mahir dengan tulsian kufi.


Status halal
“Semasa mula-mula mengkomersialkan khat ini, pernah satu ketika, ada yang beranggapan tulisan kufi itu adalah jigsaw puzzle (susun suai gambar).
“Kami mula-mula terkejut dengan pandangan itu tapi apabila kita tunjuk, beritahu dan terangkan bagaimana untuk membaca tulisan ini, barulah mereka faham,” cerita Yushafizal.
Lebih lucu lagi, ujar lelaki itu ada yang bertanya tentang status halal seni itu. Namun, tidak kurang juga yang lantang mengkritik.
“Bayangkan, ada antara mereka melihat kufi ini adalah satu reka bentuk khat yang baharu di Malaysia. Ia dianggap terlalu moden dan tidak sesuai digunakan untuk penulisan ayat-ayat al-Quran dan kalimah-kalimah suci,” imbasnya.
Meskipun menerima tanggapan sinis, hal itu sedikit pun tidak melemahkan semangat kedua-dua anak muda itu. Sebaliknya, Yushafizal dan Mohd. Nurhamli dari semasa ke semasa membuat penyelidikan dan pengubahsuaian terhadap seni itu agar difahami dan mampu diterima oleh orang ramai terutama yang beragama Islam.
Bagaimanakah mereka terlintas untuk melibatkan diri dalam bidang seni khat kufi ini? Sebagai bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad di Muar, sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Mohd. Nurhamli.
“Sebenarnya tiada silibus khat masa di sekolah, tapi bila ada pertandingan khat, guru-guru saya akan memberi tunjuk ajar sedikit tetapi bukan khat jenis kufi sebaliknya khat jenis thuluth, diwani dan nasakh saja,” katanya yang kemudiannya merujuk kepada karya-karya tokoh dan perintis khat kufi untuk mempertajamkan skil, mendapatkan idea-idea baharu serta memahami lenggok khat jenis ini.
Kisah Yushafizal sangat kontra dengan rakannya. Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina, tiada asas dalam tulisan tersebut. Namun kesungguhan dan minat mengatasi segala-galanya.

YUSHAFIZAL (kiri) dan Nurhamli menggerakkan usaha mengkomersialkan khat kufi dengan membuka tapak gerai di Amcorp Mall, Petaling Jaya.


Anak kelahiran Muar, Johor ini yang mempelajari seni secara sendirian, berjaya melihat sisi unik seni khat kufi . “Ia merupakan satu seni kuno, namun lama-kelamaan saya melihat tulisan jenis ini sebenarnya sesuai dengan kehidupan masyarakat kontemporari,” katanya yang kemudian mengadakan rundingan dengan Mohd. Hamli untuk mempopularkan kembali cabang khat itu.
Akhirnya, pada tahun 2010 bersama Mohd. Nurhamli, Yushafizal menggerakkan usaha mengkomersialkan seni kufi dengan membuka tapak gerai di Amcorp Mall dan secara talian.
Teknik
Kepada Mohd. Nurhamli, dia tidak mengambil masa yang terlalu panjang untuk mahir dengan tulisan kufi.
“Jika kita telah tahu bentuk-bentuk huruf-huruf yang terkandung dalam khat kufi ini, tidak terlalu sulit untuk kita mereka bentuk khat ini.
“Teknik yang biasa saya gunakan ialah dengan mengira bilangan huruf ayat yang ingin dibuat, anggarkan bilangan kotak (dengan buku bergrid) yang diperlukan dan dilakukan berkali-kali supaya tepat,” jelasnya.
Berkenaan tempoh masa untuk menyiapkan, arkitek ini memberitahu, ia bergantung kepada kesukaran ejaan yang diminta, kepanjangan, pengolahan huruf dan reka bentuk serta skema warna yang diminta.
Bagi menyerlahkan keterampilan tulisan ini, Mohd. Nurhamli memberitahu, khat kufi lebih menawan jika dipindahkan ke atas kanvas. Namun permintaan untuk mencetak di atas medium seperti akrilik, sticker, cermin, aluminium dan jubin tetap dilaksanakan mereka.
Lebih menarik lagi, karya Yushafizal dan Mohd. Nurhamli tidak hanya terhad kepada ayat-ayat al-Quran dan kalimah sahaja tetapi turut memperluaskannya dengan tulisan jawi.
“Ramai antara pelanggan kami yang mahu kami menulis nama sendiri dan keluarga dengan tulisan jawi,” kata mereka sambil memberitahu penerimaan masyarakat terhadap seni ini semakin baik dari tahun ke tahun.
Mengenai harga khat kufi yang dikomersialkan mereka, ia dijual serendah RM10 hingga RM2,000. Bagaimanapun, ia bergantung pada jenis karya, saiz dan mediumnya.
Sesuai dengan peralihan zaman, jurukhat-jurukhat ini sedaya-upaya mahu menampilkan sesuatu yang luar biasa tetapi tidak menjejaskan keaslian seni itu untuk khalayak.
Terkini, mereka berdua cuba memperkenalkan seni khat kufi stail abstrak. Akui mereka, ia lebih terkini dan tampak elegan.
Ujar jurukhat muda itu, titik fokus dalam mempelajari dan mengkomersialkan seni khat kufi itu bukan sekadar mencari untung semata-mata. Bahkan, pada masa yang sama ia juga adalah landasan untuk mereka berdakwah selain membantu menyemarakkan tulisan jawi yang kian dilupai masyarakat.
“Tak ramai yang sedar kewujudan seni ini. Kami mahu memperbanyakkan tulisan-tulisan kalimah yang biasanya pendek dan senang sedikit dibaca jika dilihat sepintas lalu, begitu juga dengan tulisan jawi.
“Walaupun inisiatif ini tak seberapa tapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu walau pada skala yang kecil,” kata Yushafizal sambil dipersetujui rakannya itu.

1 comment: