KETIKA melalui satu sudut di tingkat dua, kompleks beli- belah Amcorp
Mall, Petaling Jaya, pandangan mata terpesona melihat satu karya seni
unik yang tersusun rapi di atas deretan meja.
Disebabkan agak sukar menghadam maksud yang cuba disampaikan di
sebalik tulisan empat segi atas kanvas itu, penulis lantas mendekati
empunya kedai.
Jurukhat kufi dan juga pemilik kedai tersebut, Yushafizal Mohd.
Yunos seolah-olah terbiasa dengan situasi itu. Lelaki itu tersenyum dan
kemudiannya dengan tenang menerangkan secara terperinci maksudnya.
Jelasnya dengan ringkas: “Ini adalah tulisan yang dipanggil kufi dan
ia merupakan salah satu cabang tulisan khat.”
Kufi adalah salah satu seni khat purba Islam. Menyorot kembali
historiografi seni ini, ia merupakan antara skrip khat yang paling awal
digunakan dalam seni kaligrafi Islam. Skrip ini digunakan dalam
penulisan al-Quran yang paling awal sebelum ditukar penulisannya kepada
skrip nasakh seperti yang dipakai dalam al-Quran sekarang.
Pembangunan tulisan kufi dipercayai berkembang di Iraq. Betapa
tersohornya seni itu, sehingga Iraq mengabadikan tulisan penuh stail
itu pada bendera mereka. Seni terhebat itu juga turut mewarnai majoriti
bangunan-bangunan bersejarah di kedua-dua buah negara itu.
Khat kufi sudah bertapak berabad-abad lamanya di muka bumi ini. Khat
kufi secara keseluruhannya boleh didapati dalam beberapa bentuk
termasuk bentuk old archaic, flora geometric,square geometric dan
beberapa bentuk lain.
Skrip kufi yang banyak dan popular di Malaysia ialah dalam bentuk
square geometric yang juga boleh didapati di Masjid Nabawi, Madinah.
Arkitek berusia 33 tahun itu memberitahu, dia tidak kisah untuk
menerangkan tentang seni itu kepada mereka yang bertanya atau dengan
seorang lagi jurukhat yang juga rakan baiknya, Mohd. Nurhamli Mohd.
Thaniretnam, 32.
Status halal
“Semasa mula-mula mengkomersialkan khat ini, pernah satu ketika, ada
yang beranggapan tulisan kufi itu adalah jigsaw puzzle (susun suai
gambar).
“Kami mula-mula terkejut dengan pandangan itu tapi apabila kita
tunjuk, beritahu dan terangkan bagaimana untuk membaca tulisan ini,
barulah mereka faham,” cerita Yushafizal.
Lebih lucu lagi, ujar lelaki itu ada yang bertanya tentang status
halal seni itu. Namun, tidak kurang juga yang lantang mengkritik.
“Bayangkan, ada antara mereka melihat kufi ini adalah satu reka
bentuk khat yang baharu di Malaysia. Ia dianggap terlalu moden dan
tidak sesuai digunakan untuk penulisan ayat-ayat al-Quran dan
kalimah-kalimah suci,” imbasnya.
Meskipun menerima tanggapan sinis, hal itu sedikit pun tidak
melemahkan semangat kedua-dua anak muda itu. Sebaliknya, Yushafizal dan
Mohd. Nurhamli dari semasa ke semasa membuat penyelidikan dan
pengubahsuaian terhadap seni itu agar difahami dan mampu diterima oleh
orang ramai terutama yang beragama Islam.
Bagaimanakah mereka terlintas untuk melibatkan diri dalam bidang
seni khat kufi ini? Sebagai bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama (SMKA) Maahad di Muar, sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada
Mohd. Nurhamli.
“Sebenarnya tiada silibus khat masa di sekolah, tapi bila ada
pertandingan khat, guru-guru saya akan memberi tunjuk ajar sedikit
tetapi bukan khat jenis kufi sebaliknya khat jenis thuluth, diwani dan
nasakh saja,” katanya yang kemudiannya merujuk kepada karya-karya tokoh
dan perintis khat kufi untuk mempertajamkan skil, mendapatkan idea-idea
baharu serta memahami lenggok khat jenis ini.
Kisah Yushafizal sangat kontra dengan rakannya. Graduan Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina,
tiada asas dalam tulisan tersebut. Namun kesungguhan dan minat mengatasi
segala-galanya.
Anak kelahiran Muar, Johor ini yang mempelajari seni secara
sendirian, berjaya melihat sisi unik seni khat kufi . “Ia merupakan
satu seni kuno, namun lama-kelamaan saya melihat tulisan jenis ini
sebenarnya sesuai dengan kehidupan masyarakat kontemporari,” katanya
yang kemudian mengadakan rundingan dengan Mohd. Hamli untuk
mempopularkan kembali cabang khat itu.
Akhirnya, pada tahun 2010 bersama Mohd. Nurhamli, Yushafizal
menggerakkan usaha mengkomersialkan seni kufi dengan membuka tapak gerai
di Amcorp Mall dan secara talian.
Teknik
Kepada Mohd. Nurhamli, dia tidak mengambil masa yang terlalu panjang
untuk mahir dengan tulisan kufi.
“Jika kita telah tahu bentuk-bentuk huruf-huruf yang terkandung
dalam khat kufi ini, tidak terlalu sulit untuk kita mereka bentuk khat
ini.
“Teknik yang biasa saya gunakan ialah dengan mengira bilangan huruf
ayat yang ingin dibuat, anggarkan bilangan kotak (dengan buku bergrid)
yang diperlukan dan dilakukan berkali-kali supaya tepat,” jelasnya.
Berkenaan tempoh masa untuk menyiapkan, arkitek ini memberitahu, ia
bergantung kepada kesukaran ejaan yang diminta, kepanjangan, pengolahan
huruf dan reka bentuk serta skema warna yang diminta.
Bagi menyerlahkan keterampilan tulisan ini, Mohd. Nurhamli
memberitahu, khat kufi lebih menawan jika dipindahkan ke atas kanvas.
Namun permintaan untuk mencetak di atas medium seperti akrilik, sticker,
cermin, aluminium dan jubin tetap dilaksanakan mereka.
Lebih menarik lagi, karya Yushafizal dan Mohd. Nurhamli tidak hanya
terhad kepada ayat-ayat al-Quran dan kalimah sahaja tetapi turut
memperluaskannya dengan tulisan jawi.
“Ramai antara pelanggan kami yang mahu kami menulis nama sendiri
dan keluarga dengan tulisan jawi,” kata mereka sambil memberitahu
penerimaan masyarakat terhadap seni ini semakin baik dari tahun ke
tahun.
Mengenai harga khat kufi yang dikomersialkan mereka, ia dijual
serendah RM10 hingga RM2,000. Bagaimanapun, ia bergantung pada jenis
karya, saiz dan mediumnya.
Sesuai dengan peralihan zaman, jurukhat-jurukhat ini sedaya-upaya
mahu menampilkan sesuatu yang luar biasa tetapi tidak menjejaskan
keaslian seni itu untuk khalayak.
Terkini, mereka berdua cuba memperkenalkan seni khat kufi stail
abstrak. Akui mereka, ia lebih terkini dan tampak elegan.
Ujar jurukhat muda itu, titik fokus dalam mempelajari dan
mengkomersialkan seni khat kufi itu bukan sekadar mencari untung
semata-mata. Bahkan, pada masa yang sama ia juga adalah landasan untuk
mereka berdakwah selain membantu menyemarakkan tulisan jawi yang kian
dilupai masyarakat.
“Tak ramai yang sedar kewujudan seni ini. Kami mahu
memperbanyakkan tulisan-tulisan kalimah yang biasanya pendek dan senang
sedikit dibaca jika dilihat sepintas lalu, begitu juga dengan tulisan
jawi.
“Walaupun inisiatif ini tak seberapa tapi sekurang-kurangnya ia
dapat membantu walau pada skala yang kecil,” kata Yushafizal sambil
dipersetujui rakannya itu.
salam..ada contact number dia tak??
ReplyDelete