Friday 24 February 2012

Takdir..Dijangka hidup 12 jam, kini sudah 105 tahun..


SOMERSET: Seorang pesasara semalam meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke 105 meskipun hanya diberikan tempoh 12 jam untuk hidup ketika dilahirkan pada 1906.
Namun, Lillie Arnold tidak menyambut pencapaian menakjubkan itu dengan meminum arak memandangkan dia mencapai usia itu kerana dia tidak pernah menyentuh minuman keras.
Dan pesara berkenaan mempunyai satu mesej kepada doktor yang hampir putus asa merawatnya ketika dia baru dilahirkan: “Lihatlah saya sekarang!” Lillie yang kini menetap di Institut Kebangsaan Diraja untuk Orang Buta di Burnham-on-Sea, Somerset berkata: “Saya dilahirkan kembar. Malangnya, adik saya meninggal dunia.
“Saya begitu lemah. Doktor hanya memberi masa setengah hari untuk hidup. Saya sering tertanya-tanya apa yang akan difikirkan doktor itu apabila melihat saya sekarang.” Lillie berjaya mengatasi pendapat perubatan untuk mencapai usia emas dan masih kuat, meneruskan kehidupan selama 199,800 jam selepas dikatakan hanya akan hidup selama 12 jam pada 1906.
Dia berjaya mencapai usia setua itu dengan menjalani kehidupan secara sihat dan menghirup udara segar tepi laut.
Dia yang pernah menetap di London, berpindah ke Portsmouth sebelum menetap di Burnham-on-Sea. – Agensi
sumber: hmetro.com.my

Alamakops!!! Okuma bak bandar berhantu...






HANYA mempunyai masa tiga jam untuk berada di rumah lamanya, Miyoko Takeda giat mengasing-asing barang kepunyaannya sambil menitiskan air mata.
Dia terpaksa meninggalkan semua kimono yang pernah dipakainya ketika menjadi penari tradisional suatu ketika dahulu kerana bimbang kemungkinan ia telah tercemar dengan radiasi.
Malapetaka gempa bumi berukuran 9.0 magnitud menggegarkan bandar Okuma, Jepun pada bulan Mac tahun lalu. Ia merupakan kawasan reaktor yang menjadi pusat krisis nuklear Fukushima.
Sehingga kini, kawasan tersebut masih lagi sunyi sepi apabila menjadi kawasan larangan bagi penduduknya sehingga tidak ubah seperti sebuah bandar berhantu.
Hanya lawatan pendek yang dibenarkan untuk meninjau rumah yang telah ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa hampir setahun lalu.
Ramai yang tidak mengetahui bila mereka boleh pulang ke tanah Okuma.
Takeda yang telah berusia 74 tahun melawat kediamannya bersama-sama suami pada hujung minggu lalu untuk memindahkan kabinet.
Ujarnya, dalam pakaian sut perlindungan berwarna putih, kesan daripada evakuasi pada bulan Mac lalu menyebabkan tubuhnya tidak dapat berfungsi dengan baik.
"Saya tidak boleh tidur dan makan dengan baik. Saya susut lapan kilogram dan apabila bertemu doktor, saya akan memuntahkan semua yang telah dimakan," kata Takeda sambil berjalan-jalan di rumahnya yang terletak kurang 10 kilometer (km) dari loji itu.
Pada lawatan kali ketiga itu, Takeda mengalir air mata ketika sedang cuba memakai kimononya buat kali terakhir sebelum lawatan tiga jam itu berakhir.
Menaruh harapan

PENDUDUK Okuma yang berpindah kini sudah hampir setahun mendiami rumah sementara di Aizuwakamatsu.


Lebih 1,000 orang dari tiga bandar yang kesemuanya terletak dalam zon larangan telah pulang pada Ahad lalu. Kawasan itu kini menyaksikan lalang memenuhi padang sekolah tadika, manakala baja asli dari ladang lembu berdekatan memenuhi jalan raya.
Beberapa buah keluarga dikatakan meninggalkan kediaman mereka dalam keadaan tergesa-gesa sehingga selimut tebal mereka masih lagi berselerak atas lantai sampai sekarang.
Seperti Takeda, penduduk lain pula menggunakan tempoh beberapa jam yang berharga itu dengan mengambil barang-barang berharga. Ada juga yang melawat kubur keluarga dan membaiki kerosakan kesan daripada gempa dan gegaran susulan.
Dengan kedudukan batu nisan telah berubah tempat dan daun lalang memenuhi kawasan itu, Minoru Fukuo, 59, dan isterinya membersihkan kawasan tersebut walaupun pelawatnya kini adalah hidupan liar.
"Kami hanya berdoa agar dapat pulang semula untuk membersihkan kubur. Jadi, kami berharap mereka (roh nenek moyang) boleh tunggu sehingga sampai waktu itu," kata Fukuo.
Lawatan itu merupakan kali ketiga menyaksikan para penduduk dibenarkan masuk ke zon larangan nuklear sejak malapetaka tersebut berlaku.
Sejak gempa melanda Jepun, penduduk Okuma bertebaran di seluruh negara. Tanpa sebarang harapan cerah menyebabkan ada sesetengah daripada mereka telah putus harapan.
"Jika ia bencana alam biasa, kamu akan pulih dan maju sedikit demi sedikit setiap hari. Tetapi, kali ini tidak! Yang tinggal adalah satu ketidakpastian," ungkap Tomiko Ikinobu, 47.
Loji Fukushima Daiichi yang terletak di persisiran pantai 240 kilometer arah timur laut Tokyo telah ranap kesan daripada gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac tahun lalu.
Berita melaporkan sebanyak empat kali letupan telah berlaku di loji tersebut menyebabkan bekalan elektrik di seluruh Jepun terganggu.
Krisis terburuk

PEMANDANGAN dari atas kawasan Loji Fukushima Daiichi sebelum dan selepas dilanda gempa bumi Mac tahun lalu.


Tragedi itu merupakan krisis nuklear terburuk dalam tempoh 25 tahun. Sebelum ini, reaktor nombor empat, Loji Jana Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine telah meletup pada 26 April 1986.
Penilaian kerosakan loji jana kuasa Fukushima Daiichi yang dibuat tahun lalu adalah 55 peratus di unit reaktor nombor satu, 35 peratus di reaktor nombor dua dan di reaktor nombor tiga pula sebanyak 30 peratus.
Hampir 11,000 orang penduduk di Okuma dan kira-kira 80,000 orang di wilayah terlibat tidak boleh pulang semula ke rumah masing-masing kerana radiasi tinggi.
Ia meninggalkan luka jiwa yang mendalam kepada penduduk di situ walaupun kebanyakan rumah mereka masih lagi dalam keadaan baik.
Tahun lalu, kerajaan Jepun mengisytihar Loji Jana Kuasa Nuklear Daiichi sebagai kawasan 'penutupan sejuk' tetapi, Kementerian Alam Sekitar berkata, lebih kurang 2,400 kilometer persegi tanah di sekeliling loji perlu dinyah cemar dahulu.
Ikinobu dan empat anaknya kini tinggal di perumahan sementara tanpa pekerjaan sejak malapetaka berlaku.
"Selepas setahun berlalu, semua perkara dan usaha jadi perlahan dan lambat. Mencari pekerjaan baharu juga semakin sukar. Anak-anak pula makin membesar," ujarnya yang merenung nasib.
Sementara itu, Pengurus Loji Tokyo Electric Power Company (Tepco), Takeshi Takahashi berkata, dalam lawatan terbaharu ke tapak bencana nuklear itu baru-baru ini, pihaknya sedang berusaha memastikan reaktor itu selamat.
"Cabaran utama kami sekarang adalah untuk mengeluarkan minyak nuklear daripada reaktor. Ia adalah masalah yang susah dari segi teknikal. Tetapi, kami melakukannya selangkah demi selangkah," katanya.

KESEMPATAN pulang ke Okuma selama tiga jam digunakan oleh penduduk untuk melawat pusara.


Tutup operasi
Dalam lawatan itu kelihatan reaktor nombor tiga hanya tinggal timbunan besi, manakala pada aras atas telah musnah selepas digegar dengan beberapa letupan pada hari loji jana kuasa itu dilanda gempa dan tsunami.
Di Tokyo, operasi loji nuklear bakal berkurangan. Sebelum ini Jepun memiliki 54 buah operasi loji nuklear tetapi, dengan penutupan satu demi satu loji tersebut, Negara Matahari Terbit berkenaan kini hanya mempunyai dua buah loji yang aktif.
Dua buah loji milik Tepco itu ialah Loji Kashiwazaki-Kariwa di tengah Jepun dan Loji Tomari di utara Hokkaido.

Harta karun RM1.5b ke Sepanyol...



BEBERAPA keping duit lama syiling emas dipegang oleh seorang pakar harta karun di sebuah lokasi rahsia di Sarasota, Florida kelmarin.


TAMPA - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menyatakan sejumlah duit syiling perak dan emas yang ditemui dari sebuah kapal perang Sepanyol yang karam pada tahun 1804 telah dihantar ke Sepanyol dengan dua buah pesawat semalam.
Kapal itu karam selepas dibedil sebuah kapal perang British.
Duta Sepanyol ke AS, Jorge Dezcallar de Mazarmen menyaksikan dua buah pesawat kargo Sepanyol membawa 594,000 keping duit syiling perak dan artifak lain di Pangkalan Tentera Udara MacDill di sini.
Sebelum ini hakim sebuah mahkamah mengarahkan firma Odyssey Marine Exploration yang berpangkalan di sini menyerahkan duit syiling dan artifak tersebut kepada kerajaan Sepanyol dalam satu perbicaraan berhubung pemilikan harta karun itu.
Firma itu menemui bangkai kapal Sepanyol, Nuestra Senora de las Mercedes di luar pantai Portugal dekat Selat Gibraltar pada tahun 2007.
Ketika itu, harta karun tersebut dianggarkan bernilai AS$500 juta (RM1.5 bilion).
Kapal tersebut dipercayai membawa 200 orang semasa ia karam. 

Alamakops!! Jalan Bolivia paling bahaya di dunia...



SEBUAH bas bergerak di satu laluan sempit di sebatang jalan raya yang menghubungkan La Paz dengan Los Yungas di Bolivia pada 9 Februari lalu.


CHALLA, Bolivia - Sebatang jalan raya sepanjang 400 kilometer yang menghubungkan La Paz dengan Los Yungas dekat sini dianggap antara yang paling berbahaya di dunia.
Jalan raya tersebut amat sempit untuk laluan kenderaan seperti bas kerana ia berliku-liku di lereng bukit.
Paras jalan raya yang paling tinggi di kawasan tersebut ialah 4,000 meter. 

Jom mengenali..Panduan KHAS Persediaan Perkahwinan...


Perkahwinan mengikut istilah adalah penyatuan atau percampuran. Menurut istilah syara’ pula, perkahwinan adalah ijab dan qabul yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang di ucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang di tetapkan Islam.

Sedia Kahwin
.

Persediaan Perkahwinan


Dah kahwin? Kalau belum, mari baca beberapa tips persediaan perkahwinan, dan kalau yang dah kahwin dan ingin melangsungkan perkahwinan lagi, apa salahnya membaca juga kan?

Perkahwinan merupakan suatu perkara yang sangat penting, jadi perkahwinan bukan melibatkan persediaan persalinan semasa majlis perkahwinan dan barang hantaran saja, malah ia membabitkan soal persediaan emosi, spiritual, ekonomi dan fizikal. Berikut merupakan sedikit senarai semak, sebagai tanda persediaan perkahwinan.

*Telah di susun bukan mengikut keutamaan.

Budget Kahwin - Perkara yang boleh di anggap penting. Pasangan yang mahu melangsungkan perkahwinan perlu menyediakan budget kahwin yang mencukupi. Budget kahwin ni termasuklah semua perkara, dari segi hantaran, persalinan, jurusolek, jurugambar, makan, cenderahati kepada tetamu dan lain-lain perkara yang termasuk dalam budget perkahwinan. Lebih penting, perlu juga memastikan ada baki dalam akaun simpanan, takut nanti lepas kahwin, kena puasa berbulan-bulan.

Rancang tarikh - Penting untuk memilih tarikh bagi merisik, bertunang, bernikah dan berkahwin (pihak perempuan) dan majlis menyambut tetamu (pihak lelaki). Pemilihan tarikh yang sesuai amat penting supaya majlis yang akan berlangsung juga akan menjadi lebih meriah.
 Kursus Kahwin - Kahwin pun kena pergi kursus. Jangan pula nanti main redah je. Ok, sila pastikan diri telah menghadiri kursus kahwin, yang melayakkan kita kahwin. Kursus macam ni, ada yang liat nak hadiri juga?
Perbincangan - Perbincangan ni termasuklah persediaan untuk konsep perkahwinan, adat perkahwinan, menentukan perbelanjaan, kad jemputan, dan juga tempat berbulan madu. Hahah, ini pun masuk dalam persediaan perkahwinan ke? Entahlah, ye kot, senang nak merancang kan.. Jadi, lakukan perbincangan dan sebaik-baiknya di persetujui kedua-dua belah pihak.
Pengantin - Nak kahwin, mesti lah ada pasangan pengantin kan? Jadi, mungkin ini perkara utama yang perlu di sediakan dalam persediaan perkahwinan. Kalau boleh biarlah pasangan suka sama suka, jangan pula masih ada kahwin paksa-rela, ei ni kahwin betul-betul la, bukan cubaan!

*JOM LAYAN LAGU KAHWEN..

Tuesday 21 February 2012

Seni khat purba Islam..

KETIKA melalui satu sudut di tingkat dua, kompleks beli- belah Amcorp Mall, Petaling Jaya, pandangan mata terpesona melihat satu karya seni unik yang tersusun rapi di atas deretan meja.
Disebabkan agak sukar menghadam maksud yang cuba disampaikan di sebalik tulisan empat segi atas kanvas itu, penulis lantas mendekati empunya kedai.
Jurukhat kufi dan juga pemilik kedai tersebut, Yushafizal Mohd. Yunos seolah-olah terbiasa dengan situasi itu. Lelaki itu tersenyum dan kemudiannya dengan tenang menerangkan secara terperinci maksudnya.
Jelasnya dengan ringkas: “Ini adalah tulisan yang dipanggil kufi dan ia merupakan salah satu cabang tulisan khat.”
Kufi adalah salah satu seni khat purba Islam. Menyorot kembali historiografi seni ini, ia merupakan antara skrip khat yang paling awal digunakan dalam seni kaligrafi Islam. Skrip ini digunakan dalam penulisan al-Quran yang paling awal sebelum ditukar penulisannya kepada skrip nasakh seperti yang dipakai dalam al-Quran sekarang.
Pembangunan tulisan kufi dipercayai berkembang di Iraq. Betapa tersohornya seni itu, sehingga Iraq mengabadikan tulisan penuh stail itu pada bendera mereka. Seni terhebat itu juga turut mewarnai majoriti bangunan-bangunan bersejarah di kedua-dua buah negara itu.
Khat kufi sudah bertapak berabad-abad lamanya di muka bumi ini. Khat kufi secara keseluruhannya boleh didapati dalam beberapa bentuk termasuk bentuk old archaic, flora geometric,square geometric dan beberapa bentuk lain.
Skrip kufi yang banyak dan popular di Malaysia ialah dalam bentuk square geometric yang juga boleh didapati di Masjid Nabawi, Madinah.
Arkitek berusia 33 tahun itu memberitahu, dia tidak kisah untuk menerangkan tentang seni itu kepada mereka yang bertanya atau dengan seorang lagi jurukhat yang juga rakan baiknya, Mohd. Nurhamli Mohd. Thaniretnam, 32.

MOHD. NURHAMLI tidak mengambil masa yang panjang untuk mahir dengan tulsian kufi.


Status halal
“Semasa mula-mula mengkomersialkan khat ini, pernah satu ketika, ada yang beranggapan tulisan kufi itu adalah jigsaw puzzle (susun suai gambar).
“Kami mula-mula terkejut dengan pandangan itu tapi apabila kita tunjuk, beritahu dan terangkan bagaimana untuk membaca tulisan ini, barulah mereka faham,” cerita Yushafizal.
Lebih lucu lagi, ujar lelaki itu ada yang bertanya tentang status halal seni itu. Namun, tidak kurang juga yang lantang mengkritik.
“Bayangkan, ada antara mereka melihat kufi ini adalah satu reka bentuk khat yang baharu di Malaysia. Ia dianggap terlalu moden dan tidak sesuai digunakan untuk penulisan ayat-ayat al-Quran dan kalimah-kalimah suci,” imbasnya.
Meskipun menerima tanggapan sinis, hal itu sedikit pun tidak melemahkan semangat kedua-dua anak muda itu. Sebaliknya, Yushafizal dan Mohd. Nurhamli dari semasa ke semasa membuat penyelidikan dan pengubahsuaian terhadap seni itu agar difahami dan mampu diterima oleh orang ramai terutama yang beragama Islam.
Bagaimanakah mereka terlintas untuk melibatkan diri dalam bidang seni khat kufi ini? Sebagai bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad di Muar, sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Mohd. Nurhamli.
“Sebenarnya tiada silibus khat masa di sekolah, tapi bila ada pertandingan khat, guru-guru saya akan memberi tunjuk ajar sedikit tetapi bukan khat jenis kufi sebaliknya khat jenis thuluth, diwani dan nasakh saja,” katanya yang kemudiannya merujuk kepada karya-karya tokoh dan perintis khat kufi untuk mempertajamkan skil, mendapatkan idea-idea baharu serta memahami lenggok khat jenis ini.
Kisah Yushafizal sangat kontra dengan rakannya. Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina, tiada asas dalam tulisan tersebut. Namun kesungguhan dan minat mengatasi segala-galanya.

YUSHAFIZAL (kiri) dan Nurhamli menggerakkan usaha mengkomersialkan khat kufi dengan membuka tapak gerai di Amcorp Mall, Petaling Jaya.


Anak kelahiran Muar, Johor ini yang mempelajari seni secara sendirian, berjaya melihat sisi unik seni khat kufi . “Ia merupakan satu seni kuno, namun lama-kelamaan saya melihat tulisan jenis ini sebenarnya sesuai dengan kehidupan masyarakat kontemporari,” katanya yang kemudian mengadakan rundingan dengan Mohd. Hamli untuk mempopularkan kembali cabang khat itu.
Akhirnya, pada tahun 2010 bersama Mohd. Nurhamli, Yushafizal menggerakkan usaha mengkomersialkan seni kufi dengan membuka tapak gerai di Amcorp Mall dan secara talian.
Teknik
Kepada Mohd. Nurhamli, dia tidak mengambil masa yang terlalu panjang untuk mahir dengan tulisan kufi.
“Jika kita telah tahu bentuk-bentuk huruf-huruf yang terkandung dalam khat kufi ini, tidak terlalu sulit untuk kita mereka bentuk khat ini.
“Teknik yang biasa saya gunakan ialah dengan mengira bilangan huruf ayat yang ingin dibuat, anggarkan bilangan kotak (dengan buku bergrid) yang diperlukan dan dilakukan berkali-kali supaya tepat,” jelasnya.
Berkenaan tempoh masa untuk menyiapkan, arkitek ini memberitahu, ia bergantung kepada kesukaran ejaan yang diminta, kepanjangan, pengolahan huruf dan reka bentuk serta skema warna yang diminta.
Bagi menyerlahkan keterampilan tulisan ini, Mohd. Nurhamli memberitahu, khat kufi lebih menawan jika dipindahkan ke atas kanvas. Namun permintaan untuk mencetak di atas medium seperti akrilik, sticker, cermin, aluminium dan jubin tetap dilaksanakan mereka.
Lebih menarik lagi, karya Yushafizal dan Mohd. Nurhamli tidak hanya terhad kepada ayat-ayat al-Quran dan kalimah sahaja tetapi turut memperluaskannya dengan tulisan jawi.
“Ramai antara pelanggan kami yang mahu kami menulis nama sendiri dan keluarga dengan tulisan jawi,” kata mereka sambil memberitahu penerimaan masyarakat terhadap seni ini semakin baik dari tahun ke tahun.
Mengenai harga khat kufi yang dikomersialkan mereka, ia dijual serendah RM10 hingga RM2,000. Bagaimanapun, ia bergantung pada jenis karya, saiz dan mediumnya.
Sesuai dengan peralihan zaman, jurukhat-jurukhat ini sedaya-upaya mahu menampilkan sesuatu yang luar biasa tetapi tidak menjejaskan keaslian seni itu untuk khalayak.
Terkini, mereka berdua cuba memperkenalkan seni khat kufi stail abstrak. Akui mereka, ia lebih terkini dan tampak elegan.
Ujar jurukhat muda itu, titik fokus dalam mempelajari dan mengkomersialkan seni khat kufi itu bukan sekadar mencari untung semata-mata. Bahkan, pada masa yang sama ia juga adalah landasan untuk mereka berdakwah selain membantu menyemarakkan tulisan jawi yang kian dilupai masyarakat.
“Tak ramai yang sedar kewujudan seni ini. Kami mahu memperbanyakkan tulisan-tulisan kalimah yang biasanya pendek dan senang sedikit dibaca jika dilihat sepintas lalu, begitu juga dengan tulisan jawi.
“Walaupun inisiatif ini tak seberapa tapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu walau pada skala yang kecil,” kata Yushafizal sambil dipersetujui rakannya itu.

Alamakops...Terkejut 9 kereta pecah.

Penduduk terkejut sembilan kereta dipecah



SEBAHAGIAN kereta yang dipecah dalam kejadian di Taman Desaria, Petaling Jaya semalam.



PETALING JAYA - Penduduk kawasan PJS 5 di sini semalam terkejut apabila mendapati sembilan buah kereta yang diletakkan di tanah lapang berhampiran Pangsapuri Desaria dipecah penjenayah yang mahu mencuri barangan berharga.

Kejadian tersebut disedari pada pukul 7 pagi ketika pemilik kenderaan mahu menggunakan kereta mereka untuk ke tempat kerja.

Antara kereta yang dijadikan sasaran oleh penjenayah itu termasuk Proton Persona, Gen 2, Saga, Satria, Wira dan sebuah teksi. Kejadian itu pula disyaki dilakukan oleh lebih seorang penjenayah.
Seorang pekerja butik barangan kosmetik, Nor Azurah Nordin, 28, berkata, dia hanya tahu kereta Proton Satria miliknya dipecah selepas dihubungi ibunya yang tinggal berhampiran tempat kejadian.

"Selepas diperiksa, saya dapati pemain cakera padat digital telah lesap manakala cermin tingkap pemandu pecah. Saya rugi RM1,000," ceritanya.
Pada masa sama, seorang pekerja bengkel, Kamal Salim, 23, memberitahu, kejadian itu menyebabkan dompet yang tertinggal di dalam kereta Proton Persona miliknya lesap. Kereta itu baru dibeli lima bulan lalu.

Potret menyeru mesej keamanan...


POTRET-POTRET Wira Tanpa Sempadan ini telah dipilih oleh pelajar-pelajar sekolah di kejiranan Medellin sendiri.


APABILA melalui jalan-jalan di Medellin, Colombia kelihatan potret-potret gergasi wira harian yang menjalani kehidupan sebagai manusia biasa.Potret seorang artis, penjual sayur malah ibu kepada 14 orang anak mewarnai dinding-dinding bangunan konkrit di jalan berkenaan dengan tujuan memberi sesuatu yang boleh mengalih perhatian golongan belia daripada terlibat dalam kancah keganasan gengsterisme jalanan.
Imej-imej 20 penduduk dipaparkan dalam skala besar di comuna uno, iaitu salah satu daripada kawasan hitam di bandar raya Colombia yang berpopulasi 2.3 juta orang itu.

Kawasan tersebut cukup terkenal kerana pernah berlaku pertempuran besar antara kartel kokain berpengaruh dengan kerajaan sekitar tahun 1990-an. 

Pameran poster yang dikenali sebagai Wira Tanpa Sempadan tersebut 'bercerita' tentang sempadanwilayah-wilayah kumpulan jenayah terancang di Medellin.
Bandar yang menduduki tangga ke-14 sebagai bandar paling berbahaya di dunia itu mempunyai kadar pembunuhan sebanyak 70 orang bagi setiap 1,000 penduduk pada tahun lalu.

Teladan
"Kami ingin memberi penghormatan kepada wira-wira yang menjalani kehidupan harian. Mereka ialah jiran-jiran yang mungkin tidak memiliki segulung diploma tetapi boleh menjadi teladan kepada kanak-kanak kerana tidak berkompromi terhadap aktiviti haram," kata ahli psikologi, Lina Alvarez.
Dia terlibat secara langsung dalam kempen yang ditaja oleh kerajaan bandar raya berkenaan.

Pameran itu tidak melibatkan bintang sukan mahupun penyanyi popular. Potret penduduk seperti Maria Emiliana Oquendo, 86, merupakan seorang tukang jahit yang membesarkan 14 orang anak manakala Jonathan Uribe pula membuka sekolah rap secara percuma. 

Pada mulanya, ramai penduduk beranggapan kerajaan memberi penghormatan terakhir kepada mangsa-mangsa kumpulan jenayah dan gerila yang bertempur dengan pihak berkuasa Colombia hampir separuh dekad.

Imej pada poster-poster gergasi yang dipasang di tembok dan bumbung di sekitar Medellin itu boleh dilihat melalui kereta kabel yang telah dibina pada tahun 2006 untuk menuju ke kawasan kejiranan termiskin bandar raya lereng gunung tersebut.

"Kami ingin menunjukkan kepada penduduk setempat yang menaiki Metrocable bahawa masa depan kawasan kejiranan mereka bukanlah entiti keganasan tetapi dipenuhi perkara positif," kata Alvarez.
Sumbangan sosial

Salah seorang daripada ikon pameran tersebut ialah seorang penjual sayur yang juga aktif dalam aktiviti tarian, Gilberto Idarraga. Dia tidak menyangka pendedahan secara tiba-tiba dalam media akan membawa kemasyhuran buatnya.


MEDELLIN menduduki tangga ke-14 bandar paling berbahaya di dunia.

























"Sumbangan kami hanyalah untuk berjuang demi mencapai sesuatu yang terbaik dalam kehidupan," katanya kepada akhbar tempatan, El Colombiano.
Sebenarnya, pemilihan individu-individu yang dijadikan poster motivasi itu dilakukan sendiri oleh pelajar-pelajar sekolah di kejiranan tersebut. Mereka cenderung melihat orang yang bekerja kuat dan sederhana sebagai model yang membawa kebaikan.
Bagaimanapun, inisiatif pameran berkenaan merupakan inspirasi daripada artis dan jurugambar Perancis, JR, yang cukup terkenal dengan hasil karya potret gergasi golongan belia di kawasan pinggir bandar Paris, setinggan Rio de Janeiro, Brazil dan juga di Palestin.
Imej-imej Medellin yang telah dirakam oleh jurugambar Colombia Felipe Mesa hanya diiringi beberapa perkataan seperti 'keharmonian dan toleransi', 'kasih sayang dan kebebasan'.
Selain mesej keamanan, ia menekankan soal perubahan yang mahu dinikmati di kawasan kejiranan tersebut.
  

Thursday 16 February 2012

Pelari Tertua..Hebat2x..




Rahsia Fauja kekal stamina





FAUJA SINGH hanyalah seorang petani yang menetap di sebuah perkampungan kecil di Bias Pind, Jalandhar, Punjab.
Sepanjang hayatnya, dia hanya tahu mengusahakan tanaman tebu dan gandum untuk menyara keluarganya.
Ditemani isteri dan enam cahaya mata, tiga lelaki dan tiga perempuan, lelaki itu bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya.
Bagaimanapun, pada usia mencecah 81 tahun, anak keduanya, Kuldip meninggal dunia akibat ditimpa palang besi ketika berada di rumah.
Sejak itu, Fauja mula berubah sikap. Dia lebih suka menyendiri dan mengalami kemurungan.
"Jiwa saya tertekan selepas kematiannya. Kebanyakan masa dihabiskan ke tempat upacara tempat pembakaran dan sering bercakap seorang diri," katanya dalam satu temu ramah bersama The Telegraph.
Bimbang dengan keadaan bapa mereka, anak lelakinya, Sukhjinder, yang menjalankan perniagaan di United Kingdom mempelawanya tinggal bersama sekitar tahun 1995.
Pada mulanya, Fauja sukar untuk membiasakan diri dengan kehidupan baharunya. Tidak hairanlah, masanya lebih banyak dihabiskan dengan menonton televisyen di rumah.
"Duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa sememangnya membosankan. Kebanyakan lelaki berusia di negara ini tidak mengawal pemakanan, kurang beriadah dan berkenderaan untuk ke mana-mana. Itu menyebabkan ramai antara mereka jatuh sakit," katanya.
Enggan perkara yang sama berlaku ke atasnya, lelaki itu mula berjoging di sekitar kawasan perumahan itu.
Dia mengenali sukan maraton selepas menyaksikan sekumpulan atlet lelaki dan wanita berlari dalam satu pertandingan yang disiarkan di televisyen.
Melihat kesungguhan atlet berkenaan berlari tanpa henti selama berjam-jam membuatkan dia berasa kagum, sekali gus membakar semangatnya untuk mencuba sukan yang agak asing bagi dirinya itu.
Lupakan kesedihan
Peluang itu hadir selepas dia menyertai satu larian maraton amal sejauh 32 kilometer (km) yang diadakan di tengah London. Tanpa diduga, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 20 km.
"Saya mahu melarikan diri daripada kesedihan dan kesepian yang menghantui selama ini. Berlari merupakan satu-satunya pilihan yang ada," ujarnya.

KEJAYAAN Fauja di dalam sukan maraton turut dikagumi pemimpin-pemimpin terkenal dunia.



Pada usia 89 tahun, Fauja memberanikan diri menyertai London Marathon pada tahun 2000. Pada penyertaan pertama itu, dia berjaya menyudahkan larian sejauh 42 km dalam tempoh masa enam jam, 54 minit.
Jurulatih kecergasan dan bekas pelari maraton, Harmander Singh, yang kagum melihat kesungguhan Fauja, mengambil inisiatif untuk melatih dirinya.
"Saya melatih dia secara percuma," kata Harmander. Ia merupakan satu penghormatan kepada saya."
Harmander secara peribadi mengakui Fauja mempunyai tahap kesihatan yang mengagumkan pada usia sedemikian.
"Keputusan pemeriksaan kesihatan ke atasnya menunjukkan dia mempunyai tulang seperti mereka yang berusia 35 tahun."
Dengan bantuan Harmander, lelaki yang selesa dengan imej turban dan berjanggut putih sehingga ke paras dada itu berpeluang menyertai lebih 14 pertandingan maraton dan separa maraton yang diadakan di seluruh dunia.
Pada tahun 2003, ketika berusia 92 tahun, dia mencipta rekod maraton bagi kategori 90 tahun ke atas dengan catatan masa lima jam 40 minit.
Kagum dengan semangat yang ditunjukkan, jenama sukan terkenal, Adidas telah melantiknya sebagai duta bersama bintang bola sepak, David Beckham di dalam kempen, Impossible is nothing.
Wajahnya terpampang di papan-papan iklan utama di seluruh United Kingdom. Malah, syarikat itu juga telah mengeluarkan kasut khas, Fauja Singh Shoes sebagai penghormatan kepadanya.
Sejak itu, lelaki yang hanya fasih berbahasa Punjab itu mula menjadi tumpuan orang ramai di London. "Saya amat dihormati di sana, mereka menyayangi saya.
"Mereka bertanya apakah keistimewaan kaki saya yang kurus ini. Sukar untuk sesiapa percaya lelaki berusia 100 tahun mampu menyertai pertandingan maraton," katanya.
Bagaimanapun, tidak semua masyarakat di Barat mengalu-alukan kehadiran Fauja.
Dia menjadi subjek perkauman ketika menyertai pertandingan di New York selepas peristiwa 11 September 2004. Penonton-penonton yang hadir mengejeknya dan memanggilnya, Heym Osama Bin Laden dan Lihat, itu Saddam gara-gara imejnya itu.
"Biarpun marah, namun pelari-pelari lain berjaya menenangkan dan menyuruh saya supaya tidak mengendahkannya," ceritanya.
Pada bulan Oktober tahun lalu, Fauja diiktiraf sebagai pelari maraton tertua di dunia selepas berjaya menamatkan larian dalam tempoh lapan jam 11 minit ketika menyertai Toronto Waterfront Marathon di Kanada.
Kejayaan itu membolehkan dia memecahkan rekod berusia 35 tahun yang dipegang oleh seorang pelari dari Greece, Dimitrion Yordanidis, 98.
Popularitinya semakin meningkat, malah dia dianggap sebagai seorang wira di India.
Ketika pulang ke kampung halamannya sebelum ini, dia disambut puluhan peminat setianya.

KE MANA sahaja Fauja berada dia pasti menjadi tumpuan lensa kamera dan peminat-peminatnya.



Tumpuan peminat
Malah dia sentiasa menjadi tumpuan peminat yang mahu bergambar, termasuk ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan di sana.
"Saya boleh menjadi jutawan sekiranya saya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu bergambar," guraunya.
Ketika kanak-kanak, anak bongsu daripada empat beradik itu pernah melalui pelbagai pahit getir kehidupan.
Dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin, Fauja dianggap berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain kerana hanya mula berjalan ketika berusia lima tahun. Pada usia 15 tahun pula, dia hanya mampu berjalan sejauh 1.6 km.
"Kaki saya sangat lemah ketika kecil. Mungkin ia satu cara tuhan memeliharanya agar ia boleh digunakan sepenuhnya beberapa tahun kemudian," dedahnya di dalam buku biografi miliknya bertajuk, Turbaned Tornado: The Oldest Marathon Runner Fauja Singh.
Biografi setebal 144 muka surat itu diterbitkan pada 6 Jun tahun lalu. Penulisnya, Kushwant Singh sebelum itu pernah menulis buku mengenai Fauja, bertajuk, Sikhs Unlimited dan Mending Souls.
"Dia seorang lelaki unik. Dia berlari pada usia di mana orang lain sudahpun bersara, tenaganya amat luar biasa.
"Menulis biografi itu merupakan satu penghormatan besar kepada saya. Fauja telah memberi dimensi baharu terhadap makna ketahanan, aspirasi dan kekuatan," ujar Kushwant.
Di dalam biografi itu, lelaki yang mempunyai ketinggian 172 sentimeter itu turut berkongsi tip pemakanannya.
"Saya amat berhati-hati ketika memilih makanan dan hanya makan bila berasa lapar. Diet saya terdiri daripada sayuran hijau, yogurt, kacang daal, roti.
"Saya tidak menyentuh nasi, parata, pakoras dan makanan yang bergoreng. Saya minum banyak air dan teh halia."
Fauja turut mengakui umur panjang yang dimilikinya berkait rapat dengan gaya hidup positif yang diamalkan.
"Setiap hari saya bangun pukul 6 pagi dan berdoa kepada tuhan agar semua perkara-perkara negatif tidak wujud di dalam diri saya.
"Selepas itu saya akan berlari sekurang-kurangnya 10 km sehari," jelasnya.
Malah dia turut menjadi contoh kepada lima warga emas Britain berketurunan Sikh untuk terlibat di dalam maraton. Kesemua mereka berusia sekitar 80-an.
Sumbangan amal

RAHSIA kehidupan Fauja didedahkan di dalam buku biografi miliknya yang diterbitkan tahun lalu.


Biarpun kejayaan menjadi pelari maraton tertua di dunia tidak tercatat di dalam Guinness World Record disebabkan ketiadaan sijil kelahiran yang sah, namun Fauja tidak kecewa.
Sebelum ini, dia sudah menerima beberapa anugerah seperti Pride of India dan Ellis Island Medal of Honor di atas sumbangan amal yang dilakukan.
Lebih membanggakan, dia juga pernah menerima jemputan peribadi daripada bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf menyertai pertandingan maraton di Lahore pada tahun 2005.
"Kami bergambar bersama, ternyata beliau seorang yang peramah.
"Ratu Elizabeth II juga pernah menghantar telegram ucapan tahniah sempena ulang tahun kelahiran saya ke-100, malah saya juga pernah dua kali dijemput ke Istana Buckhingham," jelasnya.
Ditanya sampai bila dia akan terus berlari, ini jawapan Fauja : "Saya tidak akan berhenti sehinggalah saya mati. Sasaran saya sekiranya diizinkan tuhan ialah untuk menjadi pelari maraton yang tertua di dunia."