Friday 30 December 2011

Alamakops...Anak gajah enggan ditimbang...



SEORANG pekerja menarik belalai anak gajah itu supaya haiwan itu berdiri di atas alat penimbang di Zoo Wuppertal, Jerman kelmarin.


WUPPERTAL, Jerman - Dua keping gambar menunjukkan seorang pekerja menarik belalai seekor anak gajah untuk memujuk haiwan itu menaiki sebuah alat penimbang di Zoo Wuppertal, di sini kelmarin.
Pekerja berkenaan menarik belalai anak gajah bernama Uli itu untuk merekodkan berat haiwan tersebut dalam prosedur rutin di zoo berkenaan.
Namun, Uli yang ketakutan enggan memberi kerjasama apabila haiwan tersebut meundukkan kepalanya bagi mengelak ia ditarik ke atas penimbang tersebut.
Anak gajah itu kemudian akhirnya berdiri di atas penimbang tersebut dengan seorang kakitangan membelai kepala haiwan tersebut.

Festival meriam buluh di Pulau Mindanao...



ORANG ramai mengelilingi replika meriam buluh Howitzer di Festival Meriam Buluh di Bandar Kidapawan, Mindanao semalam.


BANDAR KIDAPAWAN, Filipina - Sebuah replika meriam diperbuat daripada buluh mencuri tumpuan para pengunjung di Festival Meriam Buluh yang berlangsung di sini, Pulau Mindanao semalam.
Diadakan pada setiap tahun, festival berkenaan merupakan sebahagian kempen pemerintah untuk mencegah orang ramai daripada terlibat dengan aktiviti membakar mercun yang boleh membahayakan mereka semasa musim cuti perayaan Krismas di Filipina.
Pelbagai jenis meriam buluh dipamerkan pada festival berkenaan.
Filipina mempunyai musim cuti Krismas terpanjang di dunia. 

Alamakops..40 buah kenderaan berlanggar...



SEJUMLAH kenderaan yang terlibat dalam nahas di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans kelmarin.


NEW ORLEANS, Amerika Syarikat - Dua lelaki mati dan 61 lagi cedera kelmarin menjelang subuh dalam nahas yang melibatkan 40 buah kenderaan, kata polis.
Nahas yang turut melibatkan kereta dan van itu berlaku ketika pemandu memandu dalam keadaan kabus tebal yang membataskan penglihatan di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans.
Menurut beberapa orang yang melalui tempat kejadian, mereka mendengar mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut meminta pertolongan.
"Anda baru mendengar semua bentuk panggilan dan orang ramai menjerit meminta pertolongan," kata seorang pemandu trak tunda, Wesley Ratcliff kepada stesen televisyen tempatan WWL-TV.
Menurutnya, dalam tempoh 13 tahun kerjayanya bertindak balas dengan nahas, kemalangan tersebut adalah yang paling buruk pernah dilihatnya.
Seorang jurucakap polis, Garry Flot tidak bercakap mengenai kemungkinan punca nahas.
Menurutnya, seorang mangsa yang mati itu merupakan pemandu sebuah trak pikap.
Dia berkata, seorang lagi mangsa yang mati ialah seorang penumpang sebuah trak pikap lain yang berusia 54 tahun.
Beberapa pemandu yang melalui lebuh raya itu ketika nahas menyatakan, mereka tiba-tiba berada dalam kegelapan dan tidak dapat melihat cahaya lampu kereta.
"Saya berpendapat ia kabus tetapi suami saya menganggap ia merupakan asap," kata seorang saksi, Stacie Williams kepada stesen televisyen WWL-TV

Tahniah!!! Osbon juara MLM raih wang tunai RM350,000....


SHAH ALAM - Kumpulan paling popular dalam Maharaja Lawak Mega (MLM), Osbon yang dianggotai oleh Os dan Abon menepati ramalan ramai apabila muncul juara sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM350,000 pada final pertandingan itu di Stadium Melawati di sini malam tadi.
Mereka mengetepikan saingan terdekat iaitu kumpulan Boboi yang muncul naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 diikuti set meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM150,000.
Pada pertandingan peringkat separuh akhir di Johor Bahru, Johor pada 23 Disember lalu, Osbon dan Boboi mendahului semua peserta dengan masing-masing mendapat 72 markah diikuti Saehu (59), Syok (58) dan Pi Mai (49).
Sementara itu, kumpulan Syok menjadi pemenang keempat dengan meraih hadiah RM50,000 pada pertandingan yang disiarkan melalui saluran Astro Warna.
Pertandingan itu mengadili para pemenangnya menerusi 70 markah daripada para pengkritiknya manakala 30 markah lagi diperolehi menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton di rumah.
Tiga pengkritik tetap MLM ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan Zainal Abidin Hassan manakala pengkritik jemputan pada final pertandingan itu ialah pelakon Aaron Aziz.
Selain Osbon dan Boboi, MLM turut disaingi oleh dua lagi kumpulan iaitu SYOK yang dianggotai oleh Suhaimi, Ifa Raziah dan Arif Sudin dan Saehu (Eko, Bocil dan Vicha).

Thursday 29 December 2011

Jom Cuba..Cara Unik Mengikat Tali Leher..


Jom Kita Sama TEST TRY CUBA Pakai Tali Leher Sendiri...Nanti Ble Dah Keje, Tak Yah Suruh "Bini-Bini" Tolong Pakaikan Tali Leher...*Aku Pun Tak Reti Pakai Tali Leher..Waka Waka...

Selamat mencuba...Peace Yo!!

Gereja England sokong Undang2x Syariah..


Paderi anggap undang-undang Islam beri kebaikan.

LONDON: Ketua Paderi Canterbury, Rowan Williams, menyatakan sokongan terhadap usaha memperkenalkan undang-undang syariah di Britain dan menegaskan pelaksanaan beberapa aspek daripada sistem perundangan Islam adalah sesuatu yang wajar dilakukan.

Tokoh paling kanan Gereja England itu berkata, langkah memberi status rasmi kepada undang-undang Islam akan membantu meningkatkan perpaduan dikalangan masyarakat kerana sebilangan penduduk Islam tidak memahami sistem perundangan Britain.

"Dengan memperkenalkan undang-undang syariah, umat Islam di negara ini tidak lagi perlu memilih satu daripada dua sistem," katanya ketika memberi ceramah mengenai undang-undang sivil dan agama di dewan Mahkamah Keadilan Diraja yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Beliau berkata, jika Britain mahu mewujudkan hubungan yang baik berasaskan sikap saling memahami dikalangan rakyatnya yang mempunyai pelbagai kepercayaan, langkah memperkenalkan undang-undang syariah memang tidak dapat dielakkan.

Sebelum itu dalam satu temuramah dengan Perbadanan Penyiaran British (BBC), William bertegas mengenai hakikat bahawa undang-undang syariah sudah diamalkan di Britain,

"Dalam beberapa keadaan yang wujud di negara ini, kita melihat undang-undang agama diiktiraf dalam sistem perundangan negeri. Memang wujud ruang untuk melaksanakan beberapa aspek dalam perundangan Islam, sama seperti yang dilakukan dalam undang-undang agama lain," katanya.

Ucapan beliau turut mendapat sokongan beberapa kumpulan Islam, antaranya termasuk Yayasan Ramadan, sebuah pertubuhan pendudukan dan kebajikan, yang menyifatkan pandangan beliau sebagai 'usaha untuk memahami Islam dan meningkatkan toleransi serta hormat terhadap kepercayaan kami'.

Petikan Buku:
Tuntutan Umat & Tanggungjawab Pemimpin Islam m/s 106
-Tuan Guru Nik Aziz
COPY PASTE...

Alamakops...Ketagih arak beracun...




MAFIZUR JAMADAR seperti lelaki-lelaki lain yang terdesak di India. Negaranya yang mundur menyebabkan rakyat di negara itu sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup.
Di kampungnya di Garijala, Sangrampur yang terletak di Bengal Barat, Jamadar sukar memperoleh pekerjaan. Lantas, dia memutuskan untuk bekerja di Kolkata yang jaraknya kira-kira 30 kilometer (km) dari kediamannya.
Setiap hari, dia akan menaiki kereta api ke sana. Sebaik habis waktu kerjanya, dia tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, Jamadar akan singgah di salah sebuah kedai samsu haram yang tumbuh melata di Bengal Barat.
Dia cuma perlu membayar 60 sen untuk mendapat seliter samsu haram. Namun, rutin Jamadar berakhir Selasa lalu. Kelibat lelaki berumur 30 tahun itu langsung tidak kelihatan.
Ibu Jamadar bagai sukar menerima hakikat melihat sekujur tubuh anaknya yang tidak bermaya di sisinya. Ratapan wanita itu semakin sukar dikawal apabila dia bersama cucu-cucunya terpaksa menunggu giliran untuk mengebumikan Jamadar.
“Dia (Jamadar) sampai di rumah seperti biasa, makan dan kemudian masuk tidur. Hari esoknya, dia muntah dan rasa pening. Kami bawa dia ke hospital di Diamond Harbor. Dia kemudian dipindahkan ke Kolkata tapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” imbasnya pada satu wawancara dengan BBC News baru-baru ini.
Itu merupakan salah satu kisah sedih mangsa arak beracun di Kolkata. Namun, atmosfera di Bengal Barat sejak minggu lalu sangat genting dan menakutkan.
Tangisan mendominasi pendengaran. Mayat mangsa yang ditampal pelekat nama pada dahi terdampar di pekarangan hospital. Lebih meruntun perasaan, sesetengah kampung tidak cukup kakitangan untuk membakar mayat..

PESAKIT terpaksa dirawat di lantai hospital gara-gara kekurangan prasarana dan menerima pesakit yang banyak dalam satu-satu masa.


Hospital di Kolkata menjadi kelam- kabut. Rumah sakit itu dilaporkan telah kehabisan ubat-ubatan hingga terpaksa meminta waris mangsa membeli ubat di luar.
Salah seorang kakitangan hospital, Chiranjit Murmu memberitahu, terdapat ramai lagi mangsa yang mati di rumah tetapi tidak dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
“Di kampung-kampung pula ada yang takut pergi hospital gara-gara takut ditangkap polis kerana membeli samsu haram,” keluh seorang lelaki tua.
Murah
Setakat artikel ini ditulis, kematian akibat keracunan samsu haram beracun mencecah sehingga 170 orang. Pihak berkuasa telah menjalankan tangkapan dan memusnahkan berdozen-dozen kilang penyulingan di lebih 10 buah kampung.
Antara perkampungan yang terbabit ialah Sangrampur, Magrahat, Usthi dan Mandirbazar yang terletak di daerah South 24 Parganas di Bengal Barat.
Angka itu dipercayai akan meningkat, beritahu Pengarah Kesihatan Bengal Barat, Shyamapada Basak.
Rentetan itu, Pengarah Besar Polis Bengal Barat, Surojit Kar Purokayashta mengisytiharkan perang besar-besaran ke atas dalang di sebalik industri pembuatan samsu haram ini. Polis kata Purokayashta, telah menahan 12 suspek setakat ini.
“Kita sedang menjejak lelaki yang bernama Khonra Badsha. Dia dikatakan orang kuat di sebalik penjualan arak palsu di negeri ini sini,” katanya.
Agensi berita AP melaporkan, kebanyakan mangsa merupakan penduduk miskin yang bekerja sebagai buruh kasar harian, penjaja jalanan dan pemandu lanca.
Bengal Barat yang bersempadan dengan negara Bangladesh dan mempunyai 19 daerah dihuni kira-kira 91 juta penduduk. Negeri ini kaya dengan hasil pertanian tetapi sebahagian besar rakyatnya tidak berpelajaran dan hidup melarat.
Kemiskinan yang memberi tekanan ekonomi telah mendorong penduduk di kawasan setinggan dan luar bandar menghidupkan industri samsu haram. Lebih malang, ia bukan sahaja beroperasi secara haram tetapi penghasilan samsu yang dijual pada harga murah telah dilakukan secara membabi buta.
Kepada penduduk kelas bawahan yang tidak mampu membeli jenama arak berkualiti, mereka tiada pilihan lain selain membeli samsu serendah 60 sen seliter di lokasi-lokasi haram di Bengal Barat.

MESKIPUN kerajaan India berjanji untuk memberi pampasan kepada setiap mangsa, ramai rakyat India kurang yakin dengan janji-janji yang ditaburkan.


Meskipun hambatan agama melarang budaya minum samsu haram, India tidak berupaya menafikan bahawa lima peratus daripada 60 juta rakyatnya dikatakan mengamalkan tabiat tidak sihat itu. Menyokong fakta itu, penyelidikan Indian Alcohol Policy Alliance merekodkan, satu hingga dua individu disahkan mati dalam jangka masa seminggu akibat meneguk samsu haram.
Apabila dunia hangat memperkatakan tentang kes keracunan samsu haram di Bengal Barat, pihak berkuasa tempatan lantas menjalankan kajian forensik terhadap kandungan minuman yang memabukkan itu.
Majistret Narayan Swarup Nigap mendedahkan, hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas 20 mangsa berjaya mengesan campuran metanol iaitu sejenis alkohol yang sangat beracun dalam arak yang diminum.
Risiko buta
“Selain digunakan untuk melarut dan mengelakkan minuman cepat beku, metanol telah ditambah untuk meningkatkan kadar kandungan alkohol,” jelas Nigap yang jelas cukup kecewa dengan kejadian yang meragut nyawa orang miskin dan menyukarkan lagi kehidupan wanita yang bergelar janda itu.
Dalam pada itu, Dr. Bob Patton dari Jabatan Ketagihan, Institut Psikiatri di Kolej King London memberitahu, penggunaan 10 mililiter (ml) metanol dalam air boleh menyebabkan seseorang buta. Sesiapa juga boleh maut sekelip mata jika terminum alkohol yang dicampur dengan 30 ml metanol.
“Apabila seseorang minum arak yang telah dicemari dengan bahan kimia bahaya itu, dia akan dapat simptom muntah, pening kepala, sakit perut, berbuih di mulut dan sawan sebelum mati,” katanya.
Kematian ratusan mangsa dalam masa beberapa hari sahaja telah membongkar banyak muslihat.
Penulis buku tentang alkohol di negara itu, Aniruddha Mookherjee telah membuat pendedahan yang mengejutkan.
Mookherjee mendakwa, terdapat keterlibatan pihak polis termasuk parti politik dalam mengawal dan menggerakkan industri samsu haram di India.
“Kerajaan negeri mengawal bisnes minuman keras di India. Di kebanyakan negeri, minuman keras dihasilkan oleh kumpulan yang dilantik khas yang punya kepentingan dengan ahli politik.
“Minuman keras dijual secara berleluasa di kedai-kedai kerajaan di Delhi tetapi di Bengal Barat itu tidak berlaku,” katanya sambil mengakui permintaan untuk minuman keras sangat tinggi di negara itu dan pelanggan harus menggunakan kata kunci tertentu untuk membeli minuman keras jenis itu.
Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banarjee turut meluahkan kegusaran. Katanya, pertalian antara ahli politik dengan pengusaha samsu haram telah menyulitkan usaha polis membanteras jenayah ini.
Seorang lelaki yang terlibat dalam industri arak secara gelap memberitahu BBC News, bisnes di daerah Gocharan misalnya, dimonopoli oleh seorang lelaki yang sangat tamak yang sanggup mencampurkan racun perosak dalam minuman keras untuk menghasilkan rasa yang lebih enak.
“Minuman keras itu dibungkus dalam tin dan disalur ke semua daerah dan di sesetengah negeri ia dihantar melalui bas atau kereta api. Peruncit kemudian menjualnya secara bungkus,” katanya berterus-terang.
Masalah ini dilihat seperti sukar menemui titik noktahnya. Bagaimanapun, untuk melegakan hati rakyat yang sedang berkecemuk, kerajaan berjanji akan menyediakan pampasan kepada setiap mangsa.
Namun, ramai yang sangat skeptikal. Mereka sukar untuk mempercayai dan semuanya dianggap sebagai janji manis belaka.
“India sememangnya susah untuk mengelak daripada gejala rasuah,” kata seorang wanita dengan nada penuh kemarahan.

Hebat!!!Hotel ais jadi tumpuan di Romania..



SEBUAH bilik tidur yang terdapat di dalam Hotel Balea Lac di Romania kelmarin.


BUCHAREST, Romania - Sebuah hotel yang diperbuat daripada ais di kawasan pergunungan Fagaras menjadi tumpuan orang ramai dan para pengunjung.
Hotel Balea Lac itu cuba menawarkan 10 bilik yang mempunyai katil besar dengan suhu di antara -2 dan + 2 darjah Celsius pada harga AS$45.73 (RM145.19) setiap orang.
Para pelancong juga boleh makan di restoran dalam hotel itu.
Hotel itu dibina pada setiap tahun supaya ruang dalaman tidak kelihatan sama setiap kali musim sejuk.
Pekerja-pekerja tempatan memotong lapisan ais di kawasan pergunungan itu untuk digunakan bagi membina dinding hotel ais tersebut.

Internet lubuk kaut keuntungan...



BERBILION sudah berjaya dibolot penjenayah siber hanya dengan penipuan melalui alam siber.


DUNIA tanpa sempadan. Ia cukup sinonim dengan perkembangan teknologi alam siber yang semakin serba canggih hari ini.
Dengan hanya satu klik sahaja, pelbagai maklumat, kemudahan, perkhidmatan dan banyak lagi dapat diakses di mana-mana sahaja tanpa perlu mengerah keringat sehingga titisan peluh jatuh ke bumi.
Bagaimanapun, kecanggihan teknologi ini disalah guna sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan melalui alam siber sehingga menyebabkan kerugian mencecah berbilion ringgit.
Bahkan, penjenayah siber ini akan mencari pelbagai taktik dalam mencari kemewahan melalui jalan pintas.
Modus Operandi
Menurut Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din, terdapat pelbagai taktik yang diguna pakai penjenayah siber dalam memerangkap mangsa untuk kepentingan mereka.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, antara modus operandi tertinggi dicatatkan dalam kes-kes jenayah siber adalah belian barangan, penyamaran sebagai pegawai bank atau polis, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), bungkusan dan phishing.
“Belian barangan mencatatkan kes tertinggi apabila suspek akan mengiklankan penjualan barangan di internet dan meminta mangsa membuat bayaran membeli barangan tersebut.
“Mangsa hanya akan menyedari ditipu setelah membuat pembayaran dan tidak menerima barangan dijanjikan seperti di dalam laman berkenaan,” katanya.
Kamarudin menambah, penyamaran sebagai pegawai bank atau polis menyaksikan sindiket membuat panggilan atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) secara rambang kepada mangsa.
“Selepas itu, ahli sindiket akan menyamar sebagai pegawai bank atau polis dengan menjawab panggilan mangsa lalu meminta mendedahkan butiran akaun.
“Mangsa akan diarahkan mengunjungi mesin ATM dan melaksanakan arahan diberikan melalui perbualan telefon sehingga wang mangsa dipindahkan ke akaun lain,” katanya.
Suspek turut akan menggunakan maklumat perbankan pemegang akaun untuk pengeluaran wang melalui mesin ATM
Satu lagi taktik yang biasa digunakan adalah mangsa akan berkenalan dengan suspek melalui laman sosial dan diyakinkan suspek ikhlas untuk bersahabat.

PENGGUNAAN telefon pintar mendedahkan lagi pengguna dengan penjenayah siber.


“Mangsa kemudian akan dijanjikan menerima satu bungkusan dikirim dari luar negara. Kebiasaannya bungkusan tersebut mengandungi barangan berharga seperti wang atau barangan kemas.
“Mereka akan dimaklumkan bahawa barangan tersebut telah ditahan kastam dan perlu membuat bayaran untuk pelepasan barangan tersebut,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, kaedah phishing pula digunakan untuk mencuri maklumat secara dalam talian.
Katanya, suspek akan mewujudkan laman web palsu bagi mendapatkan maklumat peribadi atau pun perbankan mangsa.
Pilih Alam Siber
Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy pula berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong penjenayah siber memilih alam maya dalam melakukan jenayah.
“Di alam siber penjenayah biasanya lebih bersikap meyakinkan kerana mereka tidak perlu berkonfrantasi dengan mangsa malah, boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
“Selain daripada itu, mereka juga mempunyai persepsi bahawa alam siber selamat daripada dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Sundramoorthy berkata, ia disebabkan identiti mereka tidak boleh dicam dan atau boleh dipalsukan.
Menyentuh mengenai mengapa mangsa mudah diperdaya penjenayah siber, beliau menjelaskan, antara penyebab ia berlaku adalah cinta itu buta.
“Akibat penangan cinta dan beranggapan telah menemui teman hidup, mereka mudah percaya kepada orang tidak dikenali.
“Kebiasaannya, kes-kes sebegini disebabkan mangsa jatuh cinta dan mempercayai suspek sehingga ditipu. Ada juga di antara mereka tidak pernah menemui suspek,” katanya.
Ujarnya lagi, sikap tamak turut memainkan peranan apabila mangsa ingin menjadi kaya dengan jalan pintas.
Menyedari pelbagai amaran dan pendedahan telah dilakukan pihak berkuasa serta media, mereka masih yakin dengan iklan atau pun skim cepat kaya ini.
“Bagaimanapun, majoriti mangsa-mangsa jenayah siber tidak mengetahui mereka adalah mangsa.
“Ia boleh dikatakan kecuaian apabila memberi atau pun mendedahkan maklumat kritikal kepada penjenayah siber,” katanya.
Pencegahan
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri berkata, orang ramai perlu sentiasa mempunyai sikap berwaspada dan berhati-hati apabila berada di alam siber.

CYBERSECURITY antara badan yang menyediaka pelbagai info dam tip mengenai jenayah siber.


“Jangan mudah percaya dengan orang yang baru dikenali terutama melalui laman web sosial kerana kita tidak mengetahui identiti sebenar mereka serta tujuan mereka menjalinkan persahabatan dengan kita.
“Dalam pada itu, mereka juga dinasihatkan agar tidak mendedahkan maklumat diri serta keluarga kepada orang yang baru dikenali kerana mereka mungkin mempunyai niat tidak baik. Bahkan, akhirnya anda akan terdedah kepada anasir-anasir negatif serta berniat jahat,”katanya.
Husin menegaskan, pengguna alam siber tidak perlu memuatnaik (upload) atau berkongsi gambar-gambar serta video yang berbentuk peribadi.
Katanya, mereka perlu memastikan mewujudkan tetapan privasi untuk melindungi maklumat peribadi daripada mereka yang bukan berada di kelompok rakan-rakan.
“Orang ramai boleh mengunjungi laman web kami iaitu www.cybersecurity.my kerana daripada laman web ini, mereka boleh masuk ke laman CyberSAFE (www.cybersafe.my) yang terdapat pelbagai tip serta nasihat berhubung keselamatan siber di situ,” katanya lagi.
Sekiranya jenayah siber tidak diambil perhatian dengan serius, potensi kerugian dalam beberapa sektor ekonomi di Malaysia dalam jangka masa lima tahun dianggarkan boleh mencecah sehingga RM2.73 bilion.
Jenayah siber boleh memberi kesan negatif kepada imej negara dan menjejaskan peluang pelaburan dari luar negara kerana kurangnya keyakinan serta kepercayaan terhadap tahap keselamatan siber negara.

Harga rumah jatuh di Amerika Syarikat..



SEBUAH rumah yang sedang dibina kelmarin di Westport, Connecticut, Amerika Syarikat.


WASHINGTON - Harga rumah di Amerika Syarikat (AS) jatuh di kebanyakan bandar raya bagi tempoh dua bulan berturut-turut.
Indeks The Standard & Poor's/Case-Siller yang disiarkan kelmarin menunjukkan harga rumah menurun pada Oktober selepas September di 19 daripada 20 buah bandar.
Harga rumah di kebanyakan bandar menurun bagi tempoh dua bulan berturut-turut.
Sebelum itu, harga rumah meningkat selama lima bulan di sekurang-kurangnya separuh daripada bandar yang dapat dikesan kenaikan harga.
Bandar Atlanta, Detroit dan Minneapolis menunjukkan kemerosotan harga yang ketara.
Harga di bandar raya Atlanta dan Las Vegas menurun ke peringkat yang paling rendah sejak krisis harga rumah bermula.
Namun, harga rumah di bandar Phoenix meningkat selepas menurun bagi tempoh tiga bulan berturut-turut.
Pengerusi Jawatankuasa Indeks The Standard & Poor's, David M. Blitzer menyatakan, harga jatuh di bandar raya-bandar raya seperti Atlanta, Chicago, Cleveland, Detroit dan Minneapolis mencetuskan kebimbangan kerana sebelum ini harganya amat kukuh.
Penduduk AS enggan membeli sebuah rumah sejak lebih dua tahun lalu selepas kemelesetan ekonomi berakhir secara rasmi di negara ini.
Kadar pengangguran tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lemah telah menghalang bakal pembeli.
Sebahagian penduduk tidak layak untuk mendapatkan pinjaman atau memenuhi kriteria untuk membuat bayaran pendahuluan yang tinggi.
Ramai penduduk yang memiliki pekerjaan yang stabil enggan membeli rumah kerana bimbang harganya akan jatuh. 

Rel kereta api di tengah-tengah desa...



SEORANG wanita menyembur air di kawasan rumahnya dekat landasan kereta api di Desa Kham Thien, Hanoi kelmarin.


HANOI - Sebuah desa di sini dianggap antara yang paling berbahaya buat para penghuninya kerana ia terletak amat dekat dengan landasan kereta api.
Ia dikenali sebagai Kham Thien.
Bangunan kediaman terletak di kiri dan kanan landasan kereta api sepanjang 200 meter.
Penduduk enggan meninggalkan bangunan yang terletak di tepi landasan itu walaupun terdapat banyak nahas dan kematian pada setiap tahun.
Mereka masih tinggal di desa itu walaupun pihak berkuasa telah memberikan amaran mengenai kematian dan nahas kereta api.

Tuesday 27 December 2011

Jenayah maya tanpa sempadan...




MENYEDARI dunia Internet adalah suatu alam terbuka untuk mereka yang mahu merebut peluang menjadi kaya, seorang lelaki warganegara Switzerland tidak mahu ketinggalan mengambil kesempatan itu.
Tambah menyeronokkan hati peguam berusia 40-an itu adalah apabila berkenalan dengan seorang lelaki dari Malaysia melalui sebuah laman sosial. Dia teruja kerana menganggap pencariannya bakal membuahkan hasil lumayan.
Lelaki yang ditemui melalui jaringan maya itu memperkenalkan diri sebagai seorang ahli perniagaan yang menjalankan bisnes eksport bahan-bahan mentah penternakan dan memiliki syarikat yang berpangkalan di Malaysia.
Peguam itu ditawarkan sebuah kontrak perniagaan mengeksport bekalan makanan ayam ke Hong Kong, tetapi diminta membayar sejumlah wang terlebih dahulu bagi memastikan kontrak tersebut tidak terlepas ke tangan orang.
Teruja dengan tawaran yang tidak disangka-sangka itu, peguam itu menurut sahaja kemahuan 'ahli perniagaan' itu. Wang sejumlah RM1,360,079.50 pun telah dipindahkan ke dalam akaun lelaki tersebut.
Begitupun, oleh kerana tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh masa yang terlalu panjang, dia yang mempunyai latar belakang undang-undang itu telah melakukan penyiasatan sendiri terhadap syarikat tersebut dengan maklumat yang ada.
Luluh hatinya apabila mendapati syarikat tersebut palsu dan tidak pernah wujud di Malaysia. Tidak mahu si penipu siber itu terlepas begitu sahaja, dia telah melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa.
Mujur tindakan pantas pihak polis telah berjaya menangkap dua individu, seorang lelaki dan wanita berhubung kes tersebut. Itu merupakan salah satu kes jenayah siber di negara ini.



Pada 15 Jun lalu, negara digemparkan pula dengan serangan alam siber yang ditunjangi penggodam antarabangsa. Dikenali sebagai Anonymous menerusi Operation Malaysia, kesan buruk penggodamannya amat serius.
Dalam serangan tersebut, sebanyak 91 buah laman web telah mengalami gangguan perkhidmatan.
Terdedah ancaman
Kegiatan jenayah dan salah laku siber tidak hanya melumpuhkan laman web, malah sesiapa sahaja boleh terdedah kepada ancaman tanpa sempadan itu.
Ia terbukti apabila CyberSecurity Malaysia melalui Pusat Bantuan Cyber999 telah mencatatkan sebanyak 14,157 insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet di seluruh Malaysia dari bulan Januari sehingga November 2011.
Jumlah tersebut menunjukkan berlaku peningkatan mendadak sebanyak 97 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Mengikut istilahnya, jenayah siber merujuk kepada perbuatan atau insiden yang dilakukan di alam siber, sama ada menggunakan komputer mahupun peralatan seperti perkakasan dan perisian telekomunikasi.
"Ia dilakukan dengan menggunakan telefon pintar atau peranti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dengan teknologi Internet digunakan sebagai perantara dan tidak melibatkan perbuatan jenayah secara fizikal.
"Sebagai contoh, penjenayah ini menceroboh maklumat organisasi atau individu, harta intelektual, penipuan kad kredit, kecurian identiti, penggodaman ke atas sistem rangkaian komputer dan laman web organisasi mahupun individu," kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri ketika ditemui Kosmo!.
Husin menjelaskan, setiap aktiviti jenayah siber yang dilakukan mempunyai motif atau tujuan tersendiri seperti membalas dendam, marah, berhibur sekadar suka-suka, kewangan dan politik.
Di kebanyakan negara, landskap jenayah siber yang berlaku kesemuanya hampir sama.
Laporan insiden
Di negara ini, CyberSecurity Malaysia mengklasifikasi kategori jenayah atau ancaman siber berdasarkan data laporan insiden keselamatan siber melalui penggunaan Internet yang dikumpulkan Pusat Bantuan Cyber999.

PENIPUAN melibatkan kad kredit juga merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh penjenayah siber.


Statistik yang dikumpul melalui pusat bantuan tersebut dikenali sebagai insiden keselamatan siber, dan tidak dikategorikan sebagai jenayah siber.
Antara insiden keselamatan siber yang dikenal pasti adalah seperti penipuan, spam, pencerobohan, kod berbahaya, cubaan pencerobohan, gangguan siber, laporan kerentanan (vulnerabilities), gangguan perkhidmatan (DoS) dan juga berkaitan kandungan.
Husin memberitahu, terdapat beberapa punca atau sebab berlakunya peningkatan insiden tersebut. Antaranya adalah jumlah pengguna Internet yang semakin bertambah dari semasa ke semasa dan kurang pengetahuan mengenai kepentingan keselamatan siber.
Pusat Bantuan Cyber999 juga banyak menerima laporan insiden keselamatan Internet berkaitan penggunaan media sosial.
"Ada dalam kalangan pengguna Internet yang kurang arif dan juga kurang berhati-hati sewaktu melayari Internet," ujar beliau.
Justeru, peluang tersebut memudahkan lagi penjenayah siber untuk mengambil kesempatan ke atas mereka.
Selain daripada itu, terdapat juga peningkatan ancaman-ancaman penggodaman seperti pencacatan laman web (web defacement) dan juga pencerobohan.
Kelemahan utama yang menjadi sasaran kebanyakan penjenayah siber ialah pihak yang menggunakan penyelesaian sekuriti tidak asli dan yang luput tarikh sah.
Menurut Pengarah Saluran Jualan Kaspersky Lab Asia Tenggara, Jimmy Fong, dalam satu kenyataan akhbar, pengguna peranti teknologi seperti komputer, telefon pintar, tablet dan peranti lain, ia seumpama seseorang yang meninggalkan pintu dan tingkap rumah dalam keadaan terbuka.
"Dalam situasi perbandingan tersebut, pengguna seolah-olah berharap tiada sesiapa yang akan masuk ke dalam rumah seterusnya menyalah guna atau mencuri hak miliknya.
"Di dalam kes ini, ia melibatkan data dan identiti anda," katanya.