Saturday 17 December 2011

Alamakops...Padah jadi penjamin..



FIZO bersama peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dalam sidang media, Selalu lalu.


MENIPU atau menjadi mangsa penipuan melibatkan jumlah berjuta-juta ringgit bukan perkara pelik malah itulah risiko dunia pelaburan atau perniagaan.
Apa yang terjadi kepada pelakon muda, Fizo Omar juga bukan sesuatu yang luar biasa kepada pemerhati industri hiburan.
Sebelum ini, nama seperti Amy Search, Hattan dan Eddrie Hashim telah melalui fasa teraniaya, cuma dalam situasi berbeza.
Fizo Omar atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 26, menjadi contoh terbaharu betapa mudahnya nama atau profil seseorang itu dipergunakan untuk kepentingan pihak lain.
Tiga tahun lalu, Fizo mengizinkan namanya digunakan sebagai Pengarah Urusan dan ahli lembaga pengarah sebuah syarikat percetakan.
Walaupun aktif sekadar beberapa bulan sebelum mengundur diri untuk fokus kepada lakonan, langkahnya dulu itu memberi impak yang cukup besar.
Pertengahan minggu ini semuanya dibongkarkan. Fizo membuka masalahnya yang kemas disimpan sejak setahun lalu. Terbeban oleh hutang lebih RM2 juta bukan satu pukulan yang kecil buat artis yang sedang membina nama seperti Fizo.
Biarpun dilihat berada di kandang mangsa yang teraniaya, jawatan Pengarah Urusan serta ahli lembaga pengarah yang menggunakan nama itu mengheret Fizo ke dalam belenggu hutang yang besar.
Silap hari bulan, dia yang bertindak sebagai penjamin bagi kesemua hutang syarikat yang sudah tidak wujud itu boleh diisytiharkan muflis.
"Saya tidak pernah menerima sebarang dokumen berkaitan pinjaman itu.
"Saya terkejut apabila tiba-tiba dihubungi pihak bank yang memaklumkan perkara itu," cerita pelakon berasal dari Pasir Putih, Kelantan itu berhubung masalah yang memerangkapnya sekarang.
Pujian juga buat Fizo kerana bertindak dan mengadu kepada pihak yang tepat. Ketika ini Sukarelawan Peguam (SukaGuam) sedang mengendalikan 100 kes serupa seperti mana dihadapi oleh Fizo dalam tempoh enam bulan lalu.
Manakala Fizo menjadi kes pertama membabitkan selebriti yang diterima pihak SukaGuam.
Dakwa Fizo, tanpa pengetahuan namanya dipergunakan oleh syarikat berkenaan sebagai penjamin untuk membuat pinjaman berjumlah RM8 juta tetapi pihak bank hanya meluluskan sebanyak RM2 juta.
"Dalam tempoh dua minggu ini, saya sudah berbincang dengan peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, untuk berjumpa dengan pihak bank dan cuba meminta segala dokumen berkaitan permohonan pinjaman tersebut," kata Fizo dalam sidang media bersama Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Selasa lalu.
Untuk bebas daripada cengkaman hutang yang tidak dilakukan sendiri, Fizo harus mendapatkan bukti serta dokumen yang sah untuk perbicaraan di mahkamah.
Apa yang terjadi kepada Fizo ini mungkin boleh dijadikan teladan. Pelakon itu sendiri menyesal kerana terjebak dalam situasi yang padahnya memakan diri sendiri.
"Ini satu pengajaran buat saya agar lebih berhati-hati.
"Buat rakan-rakan artis, kita jangan mudah menerima tawaran menjadi rakan kongsi dalam sesebuah syarikat," ujarnya yang mendiamkan diri daripada sebarang temu bual selepas sidang media Selasa lalu.

No comments:

Post a Comment