Tuesday 3 January 2012

Kekal cergas pada usia senja...





JIKA dihitung, usianya sudah mencecah 74 tahun. Namun jika dilihat penampilan fizikal lelaki itu, ia begitu tegap dan meyakinkan. Kudratnya masih kuat dan mampu menjalani pelbagai rutin senaman di rumah.
Tidak ketinggalan, dia turut aktif bermain bola bersama cucu-cucunya tanpa merungut keletihan atau kepenatan. Sebaliknya, riak wajah yang dipamerkan sentiasa ceria dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
Di sebalik kecergasan lelaki yang dikategorikan sebagai warga emas itu, siapa sangka dia sebenarnya merupakan penghidap penyakit ritma denyutan jantung tidak tetap atau pemfibrilan atrium (AF).
"Saya mula disahkan menghidap AF pada tahun 2003. Bagaimanapun, saya tidak menyedari tentangnya kerana ketika itu saya langsung tidak mengalami sebarang simptom berkaitan penyakit tersebut.
"Lebih mengejutkan adalah apabila doktor memberitahu bahawa saya berisiko tinggi untuk diserang strok lantaran penyakit AF. Justeru, saya telah diberikan ubat warfarin untuk mencegahnya," ujar Hamidun Abdul Hamid ketika ditemui Kosmo! di rumahnya yang terletak di Kajang, Selangor.
Tambah bapa kepada lima cahaya mata dan datuk kepada 11 orang cucu itu, rentetan penyakit yang dialaminya itu menyebabkan dia perlu menjalani ujian darah dengan kerap.
Melalui pemeriksaan yang dijalankan, doktor akan menyesuaikan ubat untuknya bagi mengelakkan darah menjadi terlalu cair seterusnya berdepan risiko pendarahan.
"Selain itu, saya juga perlu berhati-hati dengan pemakanan contohnya tidak mengambil makanan yang mengandungi Vitamin K yang terdapat di dalam sayur-sayuran hijau seperti bayam, brokoli, kailan, sawi hijau dan sebagainya kerana ia akan mengurangkan kesan warfarin," jelasnya lagi sambil mengakui situasi itu menimbulkan kerumitan terutamanya dalam bulan Ramadan.
Bagaimanapun, Hamidun sentiasa melahirkan rasa syukur pada Ilahi kerana mampu meneruskan kehidupan dalam baki hayatnya.
Dia tidak mudah mahu mengalah kepada penyakit yang menyerang kerana yakin dengan ketentuan Allah bahawa setiap apa yang berlaku tentu ada hikmah di sebaliknya.
"Oleh itu, saya sering bersikap lapang dada, sentiasa gembira dan tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan bagi mengelakkan perasaan risau wujud di fikiran," luah Hamidun sambil menegaskan dia juga amat menitikberatkan soal pemakanan yang diambil untuk menjaga kesihatan diri.
Bagi anaknya pula, Yusni Hamidun, 43, dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan bapanya untuk berjuang melawan penyakit yang dihidapi.
"Ayah seorang yang kuat. Meskipun diuji dengan pelbagai penyakit sejak berusia 30 tahun seperti batuk kering, sakit jantung dan kini AF, dia dapat mengharungi segala cabaran itu.
"Malah, dia juga sentiasa bersemangat untuk meneruskan kehidupan walaupun selepas pemergian ibu kami pada tahun 2010," kata Yusni yang tinggal bersama ayahnya dan bertanggungjawab memastikan kebajikan bapa tersayang.
RUTIN mengangkat beban juga banyak membantu Hamidun berasa sihat dan positif.


Bersenam dengan baik
Sementara itu, cucu sulung Hamidun, Ahmad Zharfan Ahmad Yasni, 16, turut melahirkan rasa gembira melihat kesihatan datuknya yang semakin pulih.
Jika dua tahun dahulu, datuknya perlu kerap menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) iaitu seminggu sekali dalam tempoh sebulan, tetapi kini tidak lagi. Jumlah itu semakin berkurangan kepada dua bulan sekali, empat bulan sekali dan terbaru, enam bulan sekali.
"Alhamdulillah, saya seronok melihat datuk ceria menjalani kehidupannya. Bayangkan, dia mampu bersenam dengan baik seperti orang yang tiada sebarang penyakit.
"Antara rutin senaman yang sering dilakukan termasuklah angkat berat, berjoging, bermain badminton dan bola," ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian itu sambil tersenyum memandang datuknya.
Secara umumnya, rakyat Malaysia yang menghidap ritma denyutan jantung tidak tetap atau AF mempunyai lima kali ganda risiko diserang strok yang lebih parah.
Malah, ia berkemungkinan melumpuhkan atau membunuh berbanding penyakit jenis strok yang lain. Bagaimanapun, hal itu dapat dicegah dengan diagnosis, rawatan dan pengurusan yang betul.
Peningkatan risiko serangan strok adalah kerana dalam AF, kebuk atas jantung seseorang (atrium) tidak mengecut dengan efektif.
Bila terjadi sedemikian, darah tidak mengalir dengan betul dalam jantung. Oleh itu, darah akan bertakung di atrium dan apabila aliran darah terganggu, pembekuan darah boleh berlaku.
Tidak sedar simptom
Darah beku yang terbentuk di atrium boleh terpisah dan bergerak melalui arteri terus ke otak sekali gus menyebabkan serangan strok berlaku.
Menurut Perunding Kanan Pakar Pulmonari dan Penjagaan Kritikal, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai, strok memberi kesan terhadap kehidupan berjuta-juta pesakit dan keluarga mereka di seluruh dunia.
"Bagi pesakit yang menghidap AF pula, risiko mereka mendapat strok adalah lebih tinggi. Hasil dua kajian yang dijalankan HKL pada tahun 2003 dan 2011 mendapati ramai pesakit tidak menunjukkan simptom AF yang jelas.
SENAMAN kardiovaskular dengan impak sederhana ini membantu Hamidun mencapai kadar denyutan jantung yang baik.


"Sesetengah pesakit AF menyatakan bahawa mereka mengalami sensasi debaran, kelajuan atau pukulan di dada mereka. Pesakit lain pula mungkin mengalami pitam, pengsan atau pening semasa episod AF.
"Justeru, sesiapa yang mengalami simptom-simptom tersebut, perlu berjumpa doktor untuk memastikan mereka tidak menghidap AF," jelasnya.
Tambah beliau, dalam kedua-dua kajian kebanyakan pesakit mengadu sesak nafas disebabkan kadar denyutan jantung mereka yang laju dan tidak tetap. Selain itu, turut didapati lima peratus pesakit yang menghidap AF pernah diserang strok.
Jabatan Ubat-Ubatan HKL telah terlibat dengan banyak percubaan klinikal antarabangsa dalam pemfibrilan atrium dan berjaya menarik minat penyelidik berkenaan AF apabila mereka menjadi salah satu pusat terbesar dengan jumlah pesakit paling banyak dalam percubaan klinikal.
Di seluruh dunia, pesakit yang menghidap AF mempunyai lima kali ganda risiko diserang strok berbanding populasi umum. Kira-kira satu pertiga daripada mereka diserang strok. Lebih menggerunkan, strok yang berkaitan AF adalah lebih parah, melumpuhkan dan membawa maut.

No comments:

Post a Comment